BAHANG Pilihan Raya
Umum (PRU) ke-14 semakin lama semakin terasa, apatah lagi dengan
selesainya pembentangan Bajet Negara 2018 oleh Perdana Menteri YAB Dato’
Sri Najib Tun Razak hujung minggu lalu. Senario itu dihangatkan sebelum
itu oleh bajet alternatif yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH)
dan yang terbaru, bajet oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang
yang dibentangkan beberapa hari yang lalu. Masing-masing nampaknya
berlumba-lumba untuk memberikan tawaran terbaik untuk rakyat menjelang
PRU yang perlu dipanggil paling lewat pada Ogos tahun hadapan.
Mendepani PRU yang bakal tiba, senario
politik semasa tanahair memberikan isyarat bahawa tiga kelompok komuniti
terbesar negara iaitu Melayu, Cina dan India masing-masing sudah
terpecah kepada beberapa parti. Orang Melayu umpamanya kini sudah
terpecah sokongan mereka kepada sekurang-kurangnya lima parti iaitu
UMNO, PAS, PKR, AMANAH dan PPBM. Kaum Cina pula secara amnya terbahagi
sokongan mereka kepada hanya dua parti utama iaitu MCA dan DAP. Situasi
hampir serupa kita lihat berlaku kepada kaum India yang undi mereka
secara majoritinya hanya akan pergi kepada MIC/MyPPP ataupun DAP/PKR.
Amanat Haji Hadi Dan Permulaan Krisis
Hakikat tersebut membentangkan kepada
kita bahawasanya pada hari ini, orang Melayu sedang mengalami krisis
perpecahan yang paling besar dan kronik dalam sejarah PRU negara. Kalau
dahulu, undi orang Melayu hanya akan pergi kepada samada UMNO ataupun
PAS, hari ini situasinya tampak berubah sama sekali. Polemik rapuhnya
perpaduan orang Melayu ini sebenarnya bukanlah satu isu yang asing. Ia
sudah pun membelenggu orang Melayu sejak lebih 30 tahun yang lalu.
Bermula dengan isu Amanat Haji Hadi yang
dikaitkan dengan ‘program’ pengkafiran besar-besaran oleh PAS terhadap
orang Melayu yang menyokong UMNO, kita melihat pelbagai program
masyarakat Islam ‘hancur’ dan ‘porak-peranda’. Kisah masjid dan surau
mempunyai dua imam, sembelihan yang tidak ‘sah’, perkahwinan yang
terbatal dan pemulauan majlis-majlis kenduri adalah antara kisah-kisah
malang yang menimpa umat Melayu pada ketika itu hanya kerana perbezaan
ideologi politik.
Politik Pecah-Belah Mahathir
Isu Amanat Haji Hadi itu walau
bagaimanapun adalah isu lama dan tidak keterlaluan jika dikatakan
sebagai sudah basi. Malah, menyalahkan PAS semata-mata dalam hal ini
adalah tidak adil dan tentunya tidak akan menjawab segala persoalan
mengenai perpecahan Melayu yang semakin parah pada hari ini ketika mana
ianya juga sangat berkait rapat dengan pemerintahan dan kepimpinan
negara pada waktu itu. Jadi, dalam kita membicarakan perbezaan antara
‘penganut-penganut’ UMNO dengan PAS, tidaklah patut untuk kita melupakan
isu-isu yang berkaitan sepanjang bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir
memimpin UMNO selama 22 tahun, selain tempoh-tempoh berikutnya setelah
beliau meletakkan jawatan selaku perdana menteri.
Sepanjang pemerintahan Mahathir lebih
dua dekad, kita menyaksikan bagaimana beliau menyingkirkan tiga
timbalannya dalam tempoh tersebut. Semua orang tahu ketiga-tiga individu
itu ialah Tun Musa Hitam, Allahyarham Tun Ghafar Baba, dan yang
terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecatnya pada 1998.
Penyingkiran Anwar pada waktu itu mencetuskan gerakan reformasi
besar-besaran oleh para penyokongnya yang akhirnya membawa kepada
penubuhan PKR yang ada pada hari ini.
Sepuluh tahun sebelum itu, kita melihat
bagaimana satu lagi parti Melayu, Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh
Hamzah atau Ku Li ditubuhkan berikutan kekalahan tipis Ku Li di tangan
Mahathir dalam perebutan jawatan Presiden UMNO. Kekalahan tipis tersebut
mendorong Ku Li untuk membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,
menyaksikan bagaimana UMNO kemudiannya diharamkan sebagai parti politik
pada 4 Februari 1988. Keputusan mahkamah inilah yang menjadi titik tolak
kepada penubuhan UMNO Baru oleh Mahathir pada 13 Februari tahun yang
sama.
Contoh-contoh ini menunjukkan kepada
kita bagaimana dalam tempoh 10 tahun sahaja, pemerintahan autokratik
Mahathir sudah pun menanam bibit-bibit perpecahan Melayu dengan lahirnya
Semangat 46 dan PKR. Mujurlah Semangat 46 kemudiannya dibubarkan pada
1996, hanya lapan tahun setelah penubuhannya.
PPBM Kemuncak Perpecahan Melayu
Kita sangkakan perpecahan Melayu di era
Mahathir setidak-tidaknya akan terhenti seketika sebaik sahaja beliau
meletakkan jawatan pada 2003. Ternyata sangkaan itu meleset sama sekali
kerana rupa-rupanya Mahathir tidak pernah mahu ‘berehat’ dari politik,
tidak seperti penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi. Berpunca daripada
rasa marah dan ketidakpuasan hatinya terhadap kepimpinan Najib dalam
beberapa isu terutamanya penyingkiran anaknya Mukhriz daripada kerusi
Menteri Besar Kedah, Mahathir terus bergerak dengan politik
pecah-belahnya dengan menubuhkan pula PPBM pada 7 September 2016,
bertujuan menarik seramai mungkin ahli UMNO. Dengan tertubuhnya PPBM, maka episod malang terus menimpa orang Melayu sejak tarikh tersebut.
Hanya angkara Mahathir seorang, sudah lahir empat parti dengan pembawaan
politik yang berbeza – UMNO Baru, Semangat 46, PKR dan PPBM -, cukup
untuk menggambarkan betapa seriusnya perpecahan orang Melayu pada hari
ini.
Mahathir Dalang Perpecahan
Seolah masih tidak sedar dengan
‘kemusnahan’ yang beliau sendiri cipta, Mahathir tergamak pula menuduh
PAS sebagai punca utama perpecahan Melayu hanya kerana parti Islam itu
tidak mahu lagi bersama-sama dengan PH yang tampak jelas begitu kuat
didominasi DAP. Hari ini sebahagian orang Melayu mungkin boleh menarik
sedikit nafas lega melihatkan hubungan yang semakin mesra antara UMNO
dengan PAS, sesuatu yang tidak dilihat di bawah pemerintahan Mahathir.
Ini kerana sewaktu pemerintahannya,
bekas perdana menteri itu terlalu sibuk untuk bertelagah dan ‘bermusuh’
dengan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik
Mat, sekaligus menafikan sama sekali sebarang bentuk kerjasama antara
dua parti terbesar orang Melayu itu. Perbezaan pendekatan politik PAS
sewaktu zamannya dengan zaman Najib sudah sepatutnya membuatkan Mahathir
sedar bahawa beliaulah sebenarnya dalang dan punca perpecahan Melayu
selama ini. Fakta ini dikukuhkan pula oleh kenyataan Sultan Johor,
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sendiri baru-baru ini yang menempelak
Mahathir sebagai individu yang memang hebat memecah belah bangsa
sendiri.
DAP Sebagai Ancaman Terhadap Survival Politik Melayu
Mendepani PRU kelak, kewujudan pelbagai
parti Melayu – UMNO, PAS, PKR/AMANAH/PPBM – yang bertanding hanya akan
merugikan orang Melayu itu sendiri. Jika sebelum ini survival orang
Melayu bergantung sepenuhnya kepada kuasa politik yang dipegang sejak
sekian lama, situasi itu tampak pasti akan berubah dengan nasib yang
lebih baik menyebelahi parti bukan Melayu khususnya DAP. Apa tidaknya,
dalam pertembungan yang seakan pasti berlaku dalam bentuk
sekurang-kurangnya tiga penjuru dalam satu-satu kawasan, undi orang
Melayu sudah pasti akan berpecah kepada tiga di kawasan majoriti Melayu –
BN/PH/PAS – sementara undi orang bukan Melayu pula terutamanya orang
Cina tampak akan terus solid buat DAP.
Jadi, sifirnya begitu mudah. Dalam
mana-mana pertembungan di kawasan yang mempunyai bilangan pengundi bukan
Melayu yang signifikan, DAP seolah pasti akan keluar sebagai pemenang
biarpun kawasan tersebut mempunyai bilangan pengundi Melayu lebih 50
peratus. Mereka tampak mempunyai jalan yang mudah di mana-mana sahaja
kawasan yang mempunyai bilangan pengundi bukan Melayu lebih 30 peratus
kerana dengan faktor perpecahan undi Melayu yang wujud, kelompok
‘minoriti’ inilah yang bakal menentukan siapakah calon yang menang.
Situasi sebegini dijangka akan dilihat di lebih 40 kerusi parlimen dan
90 kerusi DUN di seluruh negara menjelang PRU kelak sekiranya orang
Melayu masih lagi tidak sedar dan bangkit dari lena mereka.
Bangkit Sebelum Terlambat
Tentunya, kita masih lagi meletakkan
harapan agar penguasaan bukan Melayu dalam PRU kelak biarlah terhad dan
terbatas. Namun, melihatkan kepada skala perpecahan yang wujud dalam
kalangan orang Melayu sendiri, maka sewajarnyalah kita bimbang. Apa lagi
yang hendak dikatakan. Nasi nampaknya sudah menjadi bubur buat orang
Melayu. Akibat sifat tamak dan gila kuasa yang ada dalam diri Mahathir,
hari ini orang Melayu berdepan perpecahan paling teruk dalam sejarah,
dan situasi itu tampak hanya menunggu masa untuk diburukkan lagi
menjelang PRU yang akan datang.
Kelekaan berterusan orang Melayu dalam
hal ini bakal membawa kepada natijah yang bukanlah kecil. Penguasaan
besar DAP pasca PRU kelak, jika berlaku, tentulah akan disusuli pula
dengan penghapusan pelbagai keistimewaan orang Melayu dan penentangan
terhadap institusi masyarakat Islam di negara ini. Lihatlah kepada nasib
orang Melayu di Pulau Pinang dan sejauh mana pula institusi Islam
diancam di Selangor. Apakah orang Melayu sanggup mempertaruhkan nasib
mereka di tangan DAP?
Sikap tidak mahu mengalah dan
mementingkan diri yang ada pada Mahathir sudah terbukti banyak
memudaratkan orang Melayu. Goyahnya survival politik Melayu hari ini
adalah ‘hasil’ tangan Mahathir sendiri. Beliaulah orangnya yang ‘menarik
tangan’ sebahagian orang Melayu untuk berbaik dan tunduk kepada DAP
walhal dahulu bekas perdana menteri itu jugalah yang menjadi penentang
nombor satu parti yang rasis tersebut.
Bukannya kita tidak tahu bagaimana orang
Melayu sudah pun ‘tewas’ di Pulau Pinang, seolah ‘dikunci mulut’ pula
di Selangor dan situasi itu tampak seakan pasti ‘merebak’ ke beberapa
negeri lain seperti Perak dan Johor. Apa pun, kita katakan ianya masih
lagi belum lagi terlewat untuk orang Melayu bangkit mempertahankan kuasa
politik mereka. Cukup-cukuplah orang Melayu ‘hanyut’ dengan permainan
politik Mahathir. Takkan lah kita masih tidak sedar tentang ‘bahaya’
yang menanti pada PRU nanti jika orang Melayu terus berpecah. Janganlah
hanya kerana kepentingan peribadi Mahathir, akhirnya kita semua yang
merana dan menanggung akibatnya.
No comments:
Post a Comment