Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan memberi rawatan
terbaik kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan
menjalani pembedahan bahu pada 12 November ini.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kapar, G.
Manivanan di Dewan Rakyat, petang tadi.
“Soal berkaitan Anwar Ibrahim yang dibangkitkan, saya ingin
menyebutkan bahawa pihak Kementerian Kesihatan menyediakan
langkah-langkah memenuhi permintaan beliau sendiri dan ahli keluarga
beliau.
“Dengan rasa simpati, saya ingin mengatakan bahawa rawatan terbaik
daripada doktor pakar yang sesuai dan post operation ataupun rawatan
pasca pembedahan akan diberikan kepada beliau.
“Dan kita tentunya berdoa agar selepas pembedahan beliau akan
segera sembuh. Kita harap pegawai-pegawai kesihatan akan memberikan
rawatan yang terbaik.
Manivanan sebelum ini membangkitkan kecederaan yang dialami Anwar
selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Penjara
Sungai Buloh pada hujung September lalu.
Zahid kemudiannya menafikan pihak kerajaan ‘lepas tangan’ dalam
isu itu sebagaimana yang diajukan wakil rakyat daripada PKR itu.
“Saya nak maklumkan kepada YB Kapar, siasatan itu (kemalangan
Anwar) sedang dijalankan. Dan saya pasti ambil tindakan terhadap
mana-mana pihak yang melakukan perbuatan itu jika disengajakan," kata
Zahid lagi.
Ini bukan kali pertama Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) terbabit dalam kemalangan.
Bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu juga pernah terlibat
kemalangan sehingga retak tulang di bahu kanannya ketika menaiki kereta
dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Desa Sri
Hartamas.
Semalam ahli keluarga Anwar membangkitkan kebimbangan yang sama
yang meminta tidak ada campur tangan dalam operasi pembedahan Ahad ini.
No comments:
Post a Comment