KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan hari ini mengumumkan
peruntukan kecemasan sebanyak RM50,000 kepada Kerajaan Negeri Pulau
Pinang yang kini berdepan dengan bencana banjir besar sejak awal pagi
ini.
Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya komited untuk
membantu kerajaan DAP Pulau Pinang itu dengan menghantar sukarelawan
bagi membantu mangsa banjir terlibat.
“Pagi tadi saya menerima berita berkenaan keadaan banjir di Pulau
Pinang yang semakin membimbangkan. Malah didapati ada pusat-pusat
pemindahan banjir yang terputus bekalan elektrik,” katanya dalam satu
kenyataan, hari ini.
Sebelum itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berterima
kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
kerana menjawab panggilannya jam 3.30 pagi tadi.
Panggilan itu dibuat Guan Eng bagi meminta bantuan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) susulan banjir semakin buruk yang melanda negeri buat
kali kedua, tahun ini.
Ucapan terima kasih pemimpin utama DAP itu dirakamkan dalam video berdurasi satu minit 19 saat yang kini tular di media sosial.
Menurut Guan Eng, ketika panggilan dibuat, paras air semakin naik
antara tiga hingga 3.6 meter dan ia melepasti bumbung rumah di Pulau
Pinang.
Ahmad juga menasihatkan semua pihak agar sama-sama menghulurkan
bantuan kepada Kerajaan Pulau Pinang dalam menghadapi musibah itu
meskipun mempunyai pendirian politik berbeza.
“Dalam situasi sebegini, saya menyeru semua pihak agar dapat
membantu mangsa-mangsa banjir di sana dengan mengenepikan sebarang
sentimen politik.
“Marilah sama-sama kita mendoakan agar keadaan banjir semakin baik dan tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
“Bersabarlah diatas ujian Allah SWT yang menguji rakyat di sana
melalui musibah banjir. Hanya dengan kuasa dan ketentuan Allah jua kita
bermohon,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.
No comments:
Post a Comment