KUALA LUMPUR: PAS hari ini membuat laporan polis bagi meminta siasatan
dilakukan berhubung dakwaan seorang pemimpin cawangan MIC yang meminta
habuan seks daripada seorang remaja.
Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS
(DHPP), N Balasubramaniam di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul pagi
tadi.
Menurut Balasubramaniam, tindakan tegas perlu dikenakan ke atas bekas
pemimpin MIC itu yang juga seorang guru, jika didapati bersalah.
"Bekas pemimpin cawangan MIC Batang Berjuntai itu juga seorang guru dan
bagaimana boleh buat tawaran kepada pelajarnya (untuk melakukan seks).
"Polis dan Kementerian Pendidikan perlu ambil tindakan tegas dan
menyiasat pihak lain yang terlibat sama dalam kejadian itu,” katanya.
Turut serta bersama beliau ialah Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmah dan Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Salleh.
Isu habuan seks itu mendapat perhatian sejak beberapa hari lalu susulan
tersebarnya rakaman perbualan antara lelaki tersebut dengan ibu seorang
remaja perempuan.
Lelaki yang berusia 56 tahun dilapor menjanjikan pekerjaan kepada
remaja terbabit, dan sebagai tukaran, remaja itu perlu menyerahkan
tubuhnya.
Dalam rakaman audio berdurasi 8 minit 49 saat itu, lelaki terbabit
mendakwa pernah membantu ramai gadis lepasan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) untuk mendapat pekerjaan, selepas mereka mengadakan hubungan seks
dengannya.
Lelaki itu dikatakan telah meletakkan jawatan dalam parti selepas rakaman perbualannya tersebar.
Sejumlah laporan polis juga dibuat anggota MIC dari seluruh negara mendesak siasatan terhadap tertuduh.
No comments:
Post a Comment