Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menggesa
siasatan ke atas kenyataan bekas menteri, Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah yang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat anak buahnya.
Terdahulu satu laporan dibuat oleh ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini, pada jam 4 petang tadi.
Mereka meminta JAWI menyiasat tuduhan berkenaan mengikut Seksyen 41 Akta 459 iaitu kesalahan qazaf.
"(Kesalahan) qazaf apabila seseorang menuduh seseorang yang lain melakukan zina atau liwat tanpa empat orang saksi.
"Apa yang dilakukan Ahli Parlimen Tambun (Husni) untuk menyatakan
pertuduhan tanpa membawa saksi dan menyebut bahawa anak buahnya menjadi
mangsa.
"Islam hendak menghalang sesiapa membuat tuduhan rambang, liar. Itulah
sebabnya sesiapa yang membuat qazaf akan dikenakan 80 kali sebatan.
(Namun) tidak tahulah ia akan dilakukan atau tidak, tetapi kita serahkan
kepada JAWI," demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Husni, yang juga bekas Menteri Kewangan II pada Rabu minggu lalu
berkata beliau meninggalkan perjuangan Anwar selepas mendapati Ketua
Umum PKR itu terlibat dengan kes liwat dengan anak buahnya.
Kenyataan itu dibuat Husni ketika membahaskan Bajet 2018 dan membidas
bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan
perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini merupakan Pengerusi
dan Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH).
Husni juga menyebut anak buahnya yang menjadi mangsa liwat bernama
Hairani Nafis yang merupakan bekas pelajar di Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM).
Kenyataan berkenaan mengundang rasa tidak puas hati di kalangan
pembangkang dan mendesak Husni mengulangi tuduhan itu di luar Dewan
Rakyat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, G. Manivanan mendakwa kelibat Husni
tidak lagi kelihatan sehingga ke hari ini selepas membuat tuduhan liwat
berkenaan Anwar.
Malah beliau memberitahu berjumpa Husni di ruang rehat (louge) Dewan
Rakyat untuk mendapatkan penjelasan, yang kemudiannya dijawab oleh Husni
'sudah minta maaf'.
Ahli Parlimen Petani Jaya, Datuk Johari Abdul berkata pembangkang akan
bertemu dengan pengurusan UKM dalam waktu terdekat untuk mendapatkan
maklumat kejadian berkenaan.
"Beliau (Husni) kata 'saya tidak tahu, kes ini di UKM tahu' (ketika berucap di Dewan Rakyat).
"Adakah UKM tahu kes Hairani Nafis? Kami akan berjumpa pihak UKM untuk
mengetahui apa yang berlaku. Jika mereka melindungi maklumat ini adalah
perkara yang serius," ujar Johari.
Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang juga merupakan peguam Anwar
memaklumkan pihaknya akan menasihati pemimpin PKR itu berkenaan tindakan
undang-undang yang akan diambil selepas ini.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh
selama lima tahun, sejak 2015 selepas mahkamah mendapati beliau bersalah
meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
No comments:
Post a Comment