PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan
permohonan semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan tidak
membenarkan beliau hadir pada pendengaran rayuan kes sivilnya atas
alasan kegagalan kuorum.
Notis usul untuk semakan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah
Persekutuan 1995 dan afidavit Anwar yang menyokong permohonan semakannya
difailkan oleh firma guaman, Tetuan Damian & Gamany di pejabat
pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini.
Dalam permohonan itu, Anwar, 69, menuntut Mahkamah Persekutuan untuk
menyemak semula dan mengetepikan keputusan terdahulu pada 27 Oktober
lepas dan mahu perkara itu didengar semula.
Dalam afidavitnya, bekas ketua pembangkang itu menyatakan terdapat
kegagalan kuorum pada panel tiga hakim sebelum ini dengan mendakwa
pelantikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Hakim Tambahan bagi
Mahkamah Persekutuan dan Presiden Mahkamah Rayuan tidak mengikut
perlembagaan.
Hakim Zulkefli mempengerusikan panel tiga hakim itu ketika menolak
permohonan Anwar untuk hadir pada prosiding pendengaran permohonannya
bagi kebenaran untuk merayu berhubung hak mengundi pada pilihan raya
kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei 2015.
Anwar berkata sidang Mahkamah Persekutuan pada 27 Oktober lepas adalah
buruk dari segi kuorum apabila paling minimum tiga hakim diperlukan
mengikut Seksyen 71 (1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang tidak
dipatuhi.
Anwar ini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh bagi sabitan tuduhan kes liwat.
Pada 13 Jun lepas, Anwar gagal dalam rayuannya apabila Mahkamah Rayuan
mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Julai tahun lepas yang
menolak saman pemula Anwar yang memohon perisytiharan bahawa beliau
mempunyai hak untuk mengundi pada pilihan raya kecil itu.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa memandangkan Anwar adalah banduan,
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai bidang kuasa untuk
membawanya ke pusat mengundi untuk mengundi dalam mana-mana pilihan
raya.
Mahkamah tersebut turut memutuskan bahawa banduan berkenaan perlu
memohon kepada Ketua Pengarah Jabatan Penjara bagi membuat aturan yang
perlu untuk membenarkan seorang banduan mengundi.
No comments:
Post a Comment