ANTARAPOS.COM
BUKIT MERTAJAM: Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik
Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, tahaluf siyasi dengan PKR akan
ditentukan dalam Muktamar PAS Ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah pada 27
April hingga 1 Mei ini.
"Ketika ini hubungan dengan PKR masih tawaqquf dan isu ini akan
dibincang dalam muktamar dan keputusannya kita sama-sama lihat nanti.
Saya yakin perkara ini dapat dimuktamadkan sepenuhnya di muktamar dan
tidak dipanjangkan ke Majlis Syura seperti sebelum ini," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Yayasan
An-Nahdhoh di sini, hari ini.
Menurutnya, sebelum ini PAS telah mengisytiharkan bahawa parti itu
tidak mempunyai sebarang hubungan dengan DAP dan Amanah, maka mereka
tidak duduk dalam komponen PAS.
Beliau berkata keputusan PAS itu adalah untuk kebaikan semua dan bagi
mengukuhkan kedudukan PAS sebagai parti yang lama kepada masyarakat
Melayu beragama Islam.
"Apa yang saya boleh kata, muktamar kali ini berlainan dengan
sebelumnya dan banyak perkara serta isu hangat akan dibangkitkan," kata
Nik Zawawi.
Media sebelum ini melaporkan bahawa kebanyakan PAS kawasan telah
meluluskan usul menggesa PAS pusat untuk memutuskan hubungan politik
dengan PKR.
Sebanyak 13 Kawasan PAS Pulau Pinang bersetuju membawa usul itu kerana
PKR dilihat tidak lagi menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka.
Sementara itu dalam ucapannya, Nik Zawawi menegaskan PAS tidak
memerlukan dana RM90 juta yang kononnya didakwa diterimanya daripada
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebaliknya beliau berkata PAS bergantung sepenuhnya kepada hasil yang
diperoleh daripada sumbangan anggota parti dan tidak pernah meminta dana
daripada mana-mana pihak.
"PAS lebih kaya daripada itu. Kalau kita masuk pilihan raya, saya boleh
sebut berapa kita nak, semua ahli-ahli PAS akan berkorban dan
mengeluarkan duit secukupnya dalam berapa yang kita nak. Ini kelebihan
yang ada pada PAS dan tiada dalam parti-parti yang lain," katanya.
Beliau berkata anggapan menyatakan PAS menerima RM90 juta daripada 1MDB itu tidak berasas dan tidak profesional.
Sebelum ini Sarawak Report mendakwa pemimpin atasan PAS menerima RM90
juta yang dimasukkan ke akaun pihak terbabit sebagai usaha untuk menarik
kepimpinan parti Islam itu supaya menyokong Barisan Nasional dan Umno.
No comments:
Post a Comment