Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: PAS menerima keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang
tidak mengenakan tindakan terhadap Nanyang Siang Pau berhubung
penerbitan kartun mempersenda Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS sendiri
telah menerima permohonan maaf secara rasmi daripada akhbar berkenaan
dan menganggap kes tersebut telah selesai.
"Nanyang Siang Pau pun sudah minta maaf dan dia tulis surat rasmi
kepada parti dan dia (Nanyang Siang Pau) menyesal di atas apa yang
berlaku dan saya fikir permohonan maaf itu, bagi pihak PAS kita
terimalah dan dia telah mengaku kesilapan dan berjanji tidak akan
mengulanginya balik," katanya kepada Antarapos.
Beliau juga yakin keputusan yang dibuat KDN itu diambil selepas berpuas
hati dengan permohonan maaf dan meneliti penjelasan yang diberikan
akhbar berkenaan.
"Saya ingat KDN, itu hak KDN dia tidak ingin mengambil tindakan mungkin
dia (Nanyang Siang Pau) sudah hantar surat rasmi tunjuk sebab semua
jadi mungkin pihak KDN berpuas hati," ujarnya.
"Tindakan minta maaf secara rasmi dan dijanji tidak akan mengulangi
balik bagi saya sudah memadai sebab yang penting ialah mana-mana akhbar
harus bertanggungjawab dengan apa yang mereka buat dan bila mereka
menyesal dan sebagainya, bagi kita sudah cukup," katanya lagi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini
berkata, tiada tindakan akan dikenakan terhadap Nanyang Siang Pau ekoran
pihaknya telah menerima penjelasan dan permohonan maaf yang dikemukakan
akhbar berbahasa Cina itu.
Walau bagaimanapun katanya, KDN akan mengambil tindakan lebih tegas
terhadap pihak yang melakukan perbuatan sama pada masa akan datang.
Sebelum ini, akhbar itu menimbulkan kemarahan terutamanya kepada
penyokong PAS apabila memaparkan karikatur seekor monyet bersongkok
dilabel sebagai 'speaker' dan seekor lagi memakai serban dinamakan 'Hadi
Awang bertenggek di sebatang pokok 'Akta 355', merujuk rang
undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Sehari selepas penerbitan karikatur tersebut, penyokong PAS mengadakan
demonstrasi di ibu pejabat akhbar itu dengan mengemukakan empat
tuntutan, antaranya mendesak akhbar itu memohon maaf secara terus kepada
Hadi.
Nanyang kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Pandikar
dan Hadi di akhbarnya, serta mengeluarkan kartun itu dari laman webnya,
eNanyang.my.
No comments:
Post a Comment