shahbudindotcom
Seorang
pemimpin UMNO dan wakil BN dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara
atau PAC, Abdul Aziz Sheikh Fadzir, seperti kebanyakan rakyat Malaysia
lain yang prihatin, akhirnya turut melontarkan soalan paling mudah -
mana perginya wang yang sudah 1MDB bayar kepada Aabar BVI sebelum ini?
Soalan
daripada beliau yang merupakan Ketua UMNO dan Ahli Parlimen Kulim
Bandar Baharu itu menyusul berikutan penyelesaian luar mahkamah yang
dicapai antara 1MDB dan IPIC untuk memikul tanggungjawab terhadap bon
bernilai AS$3.5 bilion beserta dengan faedahnya sekali.
Kata
Aziz lagi, beliau menyokong penyelesaian yang dicapai itu, tetapi
kerajaan perlu menjelaskan kepada PAC ke mana perginya wang AS$3.5
bilion yang dibayar sebelum ini.
Dalam
pertikaian antara IPIC dengan 1MDB sehingga dibawa kepada Tribunal
Timbangtara Antarabangsa, wang itu sepatutnya dibayar melalui anak
syarikat IPIC, Aabar Investmet PJS tetapi telah dilencongkan kepada
sebuah syarikat klon, Aabar Investment PJS Ltd atau Aabar BVI yang
didaftarkan di British Virgin Island.
Soalan
Abdul Aziz tambah relevan kerana berdasarkan rekod PAC, pembayaran
AS$3.5 bilion itu sebenarnya dibuat sebanyak empat kali dalam tempoh
yang berbeza.
Bayaran
pertama dibuat sebanyak AS1.367 bilion yang dibuat tahun 2012, diikuti
AS$993 juta pada November 2014, AS$885 juta pada September 2014 dan
akhir sekali AS$295 juta pada Disember 2014?
Bukan
saja ke mana perginya wang itu perlu diperjelaskan, bahkan yang tidak
kurang pentingnya ialah, adakah 1MDB langsung tidak menyedari pembayaran
dibuat kepada syarikat klon, sedangkan ia dibuat sebanyak empat kali
dan bukannya secara sekaligus?
Perumpaan
mudahnya, katalah jika kita tersalah meminum air yang telah basi atau
masam, apakah sehingga empat kali hirupan, masih tidak disedari juga
ada sesuatu yang tidak kena pada minuman tersebut?
Apatah
lagi, berdasarkan penyiasatan antarabangsa, wang yang dilencongkan
melalui syarikat klon itu turut dikaitkan secara langsung dengan
tindakan yang telah dan sedang diambil oleh Jabatan Kehakiman AS, pihak
berkuasa Switzerland serta juga Singapura.
Oleh
itu, persoalan yang ditanyakan oleh Abdul Aziz seharusnya mendorong
sama pemimpin-pemimpin UMNO yang lain untuk turut bangun bertanyakan
perkara yang sama jika benar mereka juga mahukan kebenaran sepertimana
keinginan rakyat yang lain.
Soalannya
mudah saja - YAB Datuk Seri Najib, ke mana sebenarnya pergi wang yang
sudah dibayar sebelum ini dan tidakkah persetujuan memikul tanggungjawab
terhadap bon itu beserta faedahnya bermakna 1MDB melakukan pembayaran
berganda?
Berdasarkan
apa yang berlaku sekarang, rakyat merasakan ada yang tidak kena
berhubung penyelesaian luar mahkamah itu kerana ia jelas memperlihatkan
kaedah "tutup lubang gali lubang" diambil oleh kerajaan untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Selebihnya,
terpulang kepada Najib sama ada beliau mampu bersikap jujur dan
berterus-terang mengenainya, tetapi apa jua pendirian beliau
setidak-tidaknya boleh dijadikan ukuran antara antara hakikat "berani
kerana benar atau takut kerana salah".
Adakah
pemimpin UMNO lain yang berani bertanya menuruti langkah Abdul Aziz
atau mereka lebih rela bersubahat dengan berdiam diri berkaitan
kehilangan wang yang banyak itu, asalkan jawatan dan kedudukan terus
terpelihara?
No comments:
Post a Comment