Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
HULU SELANGOR: PAS bersedia untuk menawan Selangor pada pilihan raya
umum (PRU) akan datang apabila ia mengumumkan mahu meletakkan calon di
45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen.
Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata senarai calon PAS
Selangor yang juga termasuk bukan Islam sudah dihantar kepada PAS Pusat
untuk dinilai dan dimuktamadkan.
Bagaimanapun pertambahan kerusi yang akan ditandingi PAS di Selangor
bergantung kepada perjanjian yang dibuat bersama Pakatan Rakyat (PR)
pada 2013, selain kajian melibatkan suasana politik semasa.
"Kita sudah hantar, sudah putuskan nama-nama calon di peringkat Perhubungan Selangor. Ia melebihi 20 kerusi DUN dan Parlimen.
"Dan terkini yang kita lihat senarionya berubah-ubah berdasarkan
kajian. Kita bersedia untuk bertanding di 45 kerusi dan
sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen.
"Sekiranya tidak ada persetujuan di mana kita tidak terikat dengan
persetujuan pada 2013, bermakna ia beri ruang kepada PAS bertanding di
mana-mana kerusi.
"Bukan sahaja calon Islam, malah kita ada calon bukan Islam daripada
kaum Cina dan India pun kita akan namakan," katanya kepada pemberita di
sidang media Ijtimak PAS Selangor di Dewan Kompleks Sukan Kuala Kubu
Baru, hari ini.
Pengumuman itu selepas PAS Pahang dan Perak mengumumkan bilangan kerusi yang mahu ditandingi pada pilihan raya akan datang.
PAS Pahang menyasarkan 30 kerusi DUN berbanding 21 kerusi pada Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu. Bilangan kerusi yang sama juga diumumkan
PAS Perak untuk ditandingi pada pilihan raya yang akan datang.
PRU14 dijangka memperlihatkan saingan sengit termasuk pertandingan tiga penjuru, terutama di kalangan pembangkang.
PAS baru-baru ini mengumumkan untuk bertanding di 80 kerusi parlimen,
termasuk di kerusi-kerusi pembangkang selepas ia tidak lagi menjalin
kerjasama politik di dalam Pakatan Harapan (PH).
Parti itu juga tidak teragak-agak meletakkan calonnya di kerusi
pembangkang yang lain, termasuk kerusi ditandingi oleh parti
serpihannya, Amanah yang kini menjadi ahli dalam PH.
No comments:
Post a Comment