Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini menyuarakan
ketidakpuasan hatinya terhadap tuduhan yang dikenakan ke atas
penyerangnya kerana hukuman tidak melebihi RM100 diperuntukkan tidak
memadai berbanding kesalahan.
Beliau juga menyifatkan hukuman dihadapi oleh lapan orang yang dituduh
menyerang beliau itu sebagai penghinaan terhadap institusi Parlimen.
Dalam sidang medianya di sini, Khalid kesal semua penyerangnya di
Parlimen pada November lalu didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan
Kecil 1955 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman denda tidak lebih RM100.
"Ini merupakan seolah-olah satu penghinaan terhadap bukan sahaja ahli Parlimen, tetapi institusi Parlimen itu sendiri.
"Inilah perkiraan yang digunakan Pejabat Peguam Negara untuk mengenakan
caj yang remeh terhadap satu kesalahan yang dilihat begitu besar dan
serius, sebab bukan saya sahaja, malah ada juga pegawai polis parlimen
yang sempat dipukul dan disepak oleh mereka. Malah mereka juga buat
laporan polis, namun tidak digunapakai," kata Khalid.
Dalam kejadian 24 November lalu, Khalid diserang hampir 10 individu
disyaki penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul
Rahman ketika sedang berjalan ke Dewan Rakyat.
Beberapa penyokong Tajuddin dilihat menghampiri Khalid dengan membuat
cubaan untuk mengasari pemimpin Amanah itu, namun sempat dihalang oleh
beberapa pegawai keselamatan Dewan Rakyat.
Kumpulan itu juga melaungkan "Kami dari Pasir Salak ni bukan sial" serta "Hidup Pasir Salak".
Kekecohan itu tercetus rentetan penggunaan perkataan 'sial' yang
dilemparkan Khalid terhadap Tajuddin dalam sidang Dewan baru-baru.
Perang mulut antara Khalid dan Tajuddin bermula apabila Timbalan
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu menggelarkan Ahli Parlimen
Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya wanita yang mempunyai 'Kok'.
Tidak senang dengan kata-kata Tajuddin, Khalid kemudiannya bangkit menyerang dan menggelarnya sebagai 'sial'.
Kesal dengan hukuman ringan yang dikenakan terhadap lapan orang
penyerangnya, Khalid kemudiannya meminta Speaker Dewan Rakyat mengambil
tindakan susulan.
"Kalau Pejabat Peguam Negara tidak boleh menegakkan keadilan, maka kita
harapkan Pejabat Speaker ambil tindakan dan dakwa mereka, serta
menuntut mereka didakwa menerusi Seksyen 124," kata Pengarah Komunikasi
Amanah itu lagi.
Sementara itu, peguam yang mewakili Khalid, Zulhazmi Shariff berkata
pihaknya mahu pihak peguam negara mengkaji semula dakwaan itu.
"Kami akan tulis surat kepada pihak Peguam Negara dan pendakwa raya untuk kaji kembali dakwaan itu.
"Dalam kanun keseksaan ada Seksyen 124 yang memperuntukkan secara jelas
tentang serangan terhadap ahli parlimen. Pendapat kami ialah, pihak
peguam negara tidak ambil kira 'intention' parlimen untuk menjaga
ahli-ahli dan institusinya.
"Jika sekadar menggunakan akta kesalahan kecil, ia memberikan tauladan
yang tidak baik dna kemungkinan selepas ini ada lagi orang yang datang
ke parlimen dan serang ahli-ahli parlimen," katanya.
No comments:
Post a Comment