Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Hasrat Amanah untuk bertanding dalam semua kerusi milik PAS
bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mungkin tidak kesampaian, demikian
kata Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan hari ini.
Menurutnya, ini berikutan kesemua 73 kerusi yang dipertandingkan PAS
pada pilihan raya (PRU) lalu bakal dikongsi dengan Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) pada PRU kali ini.
"Amanah sendiri akan bertanding dalam kerusi yang PAS bertanding dulu,
tetapi dengan kemasukan Bersatu (PPBM) ini pula, kita akan tengok juga
kerusi-kerusi yang kita kira, yang perlu untuk kita berikan pada parti
Bersatu (PPBM) ini.
"Dengan kehadiran Bersatu ini, bukan sahaja Amanah tetapi PKR dan
mungkin DAP juga akan melepaskan beberapa kerusi untuk diserahkan untuk
ditandingi oleh Bersatu," katanya dalam satu kenyataan kepada portal
Antarapos.
Beliau turut menambah, angka itu akan dikurangkan kerana mengambil kira
kawasan DUN atau Parlimen di mana jika majoritinya adalah Melayu, ia
mungkin sesuai diberikan kepada Bersatu.
Sany dalam kenyataan sama turut tidak menafikan terdapat pertindihan
dalam kerusi seperti yang diperkatakan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk
Saifuddin Nasution.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih dalam proses perbincangan di
antara ahli jawatankuasa keempat-empat parti dan segalanya akan
diselesaikan di meja rundingan.
"Sebab sekarang ni proses berlaku di peringkat jawatankuasa,
pembahagian kerusi, kalau ada kerusi-kerusi yang bertindih, jika mereka
tidak selesai di peringkat jawatankuasa teknikal, kerusi ni akan naik
satu step lagi mungkin diperingkat tertinggi di antara parti-parti,"
katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Dr. Shaharuddin Baharuddin dalam satu
kenyataan tidak memaklumkan jumlah kawasan yang bertindih memandangkan
ia masih dalam proses perbincangan.
"Pertindihan kerusi memang ada, jadi proses ini proses diplomasi, masih
berjalan, proses negosiasi masih berjalan. Jadi tidak semuanya muktamad
sampai pilihan raya akan datang.
No comments:
Post a Comment