Monday, April 3, 2017

Husam 'gila talak', teruja campuri rumah tangga PAS

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] 'Gila talak' agaknya Datuk Husam Musa apabila masih berselera mengintai-intai kehidupan 'janda politiknya' lantas mahu mencampuri ehwal rumahtangga PAS walaupun sudah melanggar bai'ah dengan parti.
 
Yang nyata minat dan sayang Husam pada PAS masih ada berbaki. Maka setiap kesempatan mencampuri ehwal PAS tidak akan dilepaskannya. Husam masih mahu terbabit dengan kehidupan PAS.
 
Terbaharu, Husam menjadi di antara politikus awal 'menegur' pimpinan PAS supaya seluruh barisan pimpinannya meletak jawatan kerana kononnya gagal memperjuangkan usul menaik taraf bidang kuasa Mahkamah Syariah.
 
Pucuk dicita ulampun tiba. Setelah gesaannya supaya isu bai'ah tertalak isteri mana-mana pemimpin PAS yang melanggar sumpah tidak melompat parti cuba dihangatkannya gagal, Husam menyambar peluang mencampuri isu BN tidak jadi membawa usul berkenaan ke parlimen.
 
"Secara ringkasnya, saya minta Presiden PAS dan jawatankuasa PAS meletakkan jawatan secara bersama. (Sebab) yang berlaku ini satu tindakan politik merosakkan nama Pas.
 
"Dia telah memecahbelahkan pakatan pembangkang, pecahbelahkan PAS dan meletakkan PAS sebagai satu badan politik yang tidak dapat difahami oleh rakyat jelata," katanya.
 
Husam kecewa tak sempat jadi pemimpin ulung PAS
 
Mungkin Husam masih kecewa terpaksa memfasakhkan PAS dan tidak sempat menjadi pemimpin ulung PAS kerana gagal menandingi sebilangan ulama yang terus percaya pada kepemimpinan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.
 
Sebab itu agaknya bila ada kesempatan 'meremeh dan memburukkan' kepimpinan Hadi beliau segera menerpa ke dalam gelanggang dengan harapan dapat 'menyedarkan' penyokong PAS betapa rugi jika terus setia pada Hadi.
 
Namun kini Husam adalah ahli Parti Amanah Negara. Adalah lebih wajar beliau menghebahkan kehebatan, kemulukan dan keunggulan perjuangan partinya. Beliau harus insaf masalah PAS bukan lagi masalahnya.
 
Sebaliknya dalam isu RUU355 ini Husam seharusnya memberi penjelasan terperinci mengapa partinya yang mengaku sebuah wadah Islam, nilai imannya lebih rendah daripada Umno?
 
Setelah berpuluh-puluh tahun PAS berdakwah memartabatkan Islam, akhirnya sekali lagi Umno tampil untuk membawa usul memperkasakan Mahkamah Syariah setelah memperkenalkannya pada 1965. sebagai Akta Persekutuan.
 
"(Akta 355) ini dipinda kali pertama pada 1984 dan kali kedua pada 1989 dan ia kekal sebagai Akta Persekutuan," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ashraf Wajdi Dasuki.
 
Bagaimanapun hasrat Umno-BN mengambil alih usul persendirian Haji Hadi itu terhalang kerana tatakrama Barisan Nasional berpaksi konsensus sesama ahli. Umno-BN akhirnya bersetuju untuk tidak menjuarai langkah itu kali ini.
 
Husam tiada hak bercakap bagi pihak PAS
 
Bagaimanapun parti Husam berdalih menegaskan pendiriannya sama ada menyokong atau tidak usul berkenaan. Sama seperti PKR yang ditunjangi ahli-ahli muslim, soal butir pindaan yang belum nyata dijadikan alasan. 
 
Sebagai sebuah parti Islam, parti Husam wajib mendahulu dan mendaulatkan Islam. Umno ada halangan protokol tetapi Amanah dan PKR seharusnya tidak keberatan menyokong; kecuali kedua-duanya 'gentar' pada amarah DAP.
 
"Saya pun tak tahu siapa sebenarnya (Datuk) Husam Musa. Dia bukan ahli PAS dan dia tidak ada kaitan dengan PAS.
 
"Dia tiada hak untuk bercakap bagi pihak PAS sebab dia bukan ahli PAS dan dia dah dipecat," katanya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Beliau menjawab kenyataan Husam yang menggesa presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan jawatankuasa parti meletakkan jawatan mereka segera. Namun ini tidak menggugat kedudukan PAS.
 
PAS tak terkesan 
 
Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan berkata PAS tidak pernah secara rasmi 'lepas tangan' meskipun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan akta itu akan diambil alih kerajaan.
 
Sebaliknya kini ia kekal sebagai Rang Undang-Undang Persendirian yang akan dibentangkan oleh PAS sebagaimana sebelumnya. Pengisytiharan itu tidak menjejaskan apa-apa bagi pihak PAS. 
 
"Situasinya adalah 'kekal pada format asal'. Sememangnya, Ahli Parlimen PAS sejak awal telah diletakkan dalam 'mode standby' bagi menghadapi perbahasan di Parlimen," katanya.
 
PAS kini perluh menunggu giliran yang akan ditentukan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
 
"Hanya beza jika kerajaan BN bentang maka ia menjadi Bill Kerajaan yang diutamakan angka gilirannya. 
 
"Jika PAS yang membentangnya maka ia kekal seperti asal iaitu Rang Undang-Undang Persendirian maka gilirannya ditentukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat melalui peruntukan peraturan  dewan," katanya.
 
Nasruddin juga menolak pengumuman Najib itu membayangkan seolah-olah PAS dipermainkan BN.
 
"Jika PAS bentang, mereka kata PAS diperalat oleh Umno dan BN, kenapa tidak kerajaan BN sahaja yang membentangnya ke parlimen? Bukankah Umno menyokong? Maka sepatutnya BN yang bentang, bukan PAS.
 
"(Tetapi) apabila TPM umum kerajaan BN yang akan bentang Pindaan Akta 355, mereka juga "meloncat tidak ketahuan punca" kononnya PAS kena kencing oleh Umno. Pada mereka, serba tidak kena," katanya.
  
PAS pada 26 Mei 2016 membentangkan RUU tersebut sebelum menangguhkannya ke sidang November tahun lalu.
 
Pada sesi pembentangan kedua, PAS sekali lagi minta menangguhkan bacaan RUU itu bagi memberi lebih masa kepada ahli Parlimen membuat kajian dan memahami isu itu terlebih dahulu.
 
 

No comments: