Kerajaan harus segera memberikan penjelasan segera berhubung wang Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilaburkan di Pulau Cayman dan digunakan untuk menaja jemaah haji.
Ahli parlimen Kuala Terengganu dari Amanah Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, ini kerana semakin banyak timbul pertikaian khususnya daripada golongan agamawan mengenai status halal haram wang tersebut.
"Selepas isu kontroversi pengunaan wang 1MDB untuk ibadah haji tercetus, banyak pandangan serta pendapat telah diberi. Rata rata pendapat umum - "Wang ibadah haji perlu dari hasil yang halal"
"Ramai para agamawan termasuk Timbalan Mufti Kedah mempunyai pendapat yang sama. Oleh kerana itu saya di sini menuntut kerajaan segera memberi penjelasan tentang apa yang telah saya bertanya di Parlimen tentang pelaburan 1MDB di kepulauan Cayman.
"Kenapakah kerajaan memilih untuk melabur di kepulauan Cayman sebuah pusat terkenal simpanan wang judi, dadah dan kongsi gelap. Saya juga bertanya dari manakah sumber wang 1MDB untuk menaja jemaah haji?" katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, selain terbongkarnya pelaburan wang 1MDB di Pulau cayman, lebih banyak aktiviti pelaburan 1MDB terdedah antaranya wang 1MDB dilaburkan dalam filem "Wolf Of Wall Street" yang berunsur lucah yang melibatkan kerajaan Amerika merampas harta serta menjalankan dakwaan ke atas aktiviti penggubalan wang haram oleh 1MDB.
"Beberapa pegawai bank ditahan oleh kerajaan Singapura kerana terlibat dengan aktiviti penggubalan wang haram oleh 1MDB.
"Kerajaan Abu Dhabi membekukan harta serta wang syarikat rakan niaga 1MDB yang juga melibatkan aktiviti pelaburan besar Kelab kelab Malam di Amerika.
"Selain itu siasatan aktiviti penggubalan wang haram ke atas 1MDB juga sedang berjalan di Switzerland dan Hong Kong.
"Apa yang jelas di kesemua tempat pelaburan 1MDB tersebut aktiviti penggubalan wang haram berlaku dan disiasat. Oleh itu amat kritikal kerajaan memberi penjelasan terperinci sumber pendapatan 1MDB kerana mereka telah pun menghantar lebih dari satu ribu jemaah haji ke Mekah," tegasnya yang juga Ketua Biro Antarabangsa Amanah.
Terdahulu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa orang yang melaksanakan ibadah haji menggunakan wang 1MBD tidak akan mendapat haji mabrur kerana ia berpunca daripada wang haram yang dicuri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Raja Bahrin juga mencabar dan menuntut kerajaan membebaskan sekatan ke atas dokumen Laporan Ketua Audit Negara Malaysia ke atas 1MDB yang telah diletak di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
"Kami ahli Parlimen pun dinafikan hak kami membaca dokumen tersebut.
"Dengan membaca dan menyelidiki dokumen tersebut kami berharap dapat mengetahui sumber pendapatan dan perbelanjaan jemaah haji tajaan 1MDB," katanya.
Menurut beliau juga, segala gimik kerajaan selama ini mengenai indeks syariah, dan sebagainya tidak bermakna tanpa penjelasan terperinci mengenai sumber pendapatan dan perbelanjaan untuk jemaah haji tajaan 1MDB.
"Bagaimana mereka yang berkenaan boleh mengetahui keadaan yang sebenarnya kalau maklumat ini semua di rahsiakan?" katanya selain mendesak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Dusuki dan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menyatakan sama ada pelaburan 1MDB di luar negara tersebut mematuhi panduan syariah yang di war-warkan kerajaan Malaysia.
Asyraf baru-baru ini mengingatkan bekas perdana menteri itu supaya tidak berlagak pandai dalam hukum berkaitan Islam sehingga berani mempersoalkan hal ibadah haji orang lain.
Abdul Rahman pula berkata hanya Allah layak menentukan sama ada ibadah haji seseorang itu mabrur atau tidak.
No comments:
Post a Comment