Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Rundingan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
bersama PAS setakat hari ini masih lagi berlangsung dan tiada sebarang
keputusan muktamad dibuat.
Justeru, naib presidennya Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman meminta,
mana-mana pihak yang tidak terlibat dalam rundingan PPBM-PAS agar tidak
mengeluarkan sebarang komen berhubung isu itu.
"Tak payahlah dengan ura-ura atau apa orang kata, mereka tak tahu hal
dalaman parti. Saya fikir komen tu tak sesuai dengan keadaan sekarang
(kerana) perundingan yang ada berbeza.
"Kita ada kumpulan yang lakukan rundingan, saya tak fikir orang yang beri komen ni terlibat dalam (perbincangan).
"(Hari ini) pihak kita akan laporkan kepada MPT dan kita akan tengok
apa-apa reaksi dalam perjumpaan tu. Tapi perundingan tu belum selesai,"
katanya ketika dihubungi Antarapos.
Terdahulu Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamad memberitahu
Antarapos bahawa, parti itu tidak akan menjalin kerjasama dengan PPBM
sekiranya mereka menyertai Pakatan Harapan (PH).
Mahfodz berkata demikian selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mahu PPBM
menjadi ahli komponen penuh PH sekiranya PAS berterusan enggan
bekerjasama dengan parti pembangkang yang lain.
Tambah Rashid, PPBM tidak akan menyertai PH sebaliknya hubungan yang
terjalin itu hanyalah bersandarkan kepada perjanjian persefahaman
sahaja.
Justeru katanya lagi, PAS tidak mempunyai hak untuk menentukan dengan siapa PPBM menjalin kerjasama, begitu juga sebaliknya.
"Mana boleh sertai PH, kita dah tandatangan perjanjian dengan PH.
Kerjasama tu diteruskan, kita dengan PH adalah satu kelompok
(pembangkang).
"Bersatu (PPBM) dengan PAS, tak termasuk yang lain dengan siapa kita
berkawan. Kalau dia dengan kita dan tak nak berkawan dengan yang lain,
itu dia punya hak tapi kita berkawan dengan dia," katanya.
Ketika ditanya, kebarangkalian keputusan kerjasama PPBM-PAS ini, Rashid
memberitahu parti terbuka dengan sebarang keputusan dan bersedia dengan
langkah seterusnya.
"Kalau PAS bersetuju untuk bekerjasama dengan Bersatu (PPBM), itu satu
perkara lain yang mungkin membantu dalam pilihan raya ni. Tapi kalau PAS
tak kerjasama pun tak ada masalah, kita akan tentukan apa yang harus
kita buat (tapi) kita (masih) dengan PH," ujar beliau.
Kenyataan Rashid itu jelas bercanggah dengan hasrat Pengerusi PPBM, Tun
Dr Mahathir Mohamad yang mahu parti itu menjadi sebahagian daripada PH.
Dr Mahathir juga mengugut akan menamatkan rundingan dengan PAS jika
parti itu terus enggan memberikan kata putus sama ada mahu bersama
PH-PPBM ataupun menjalin hubungan politik dengan Umno Barisan Nasional
(BN).
No comments:
Post a Comment