KUALA LUMPUR: Semua pihak yang terlibat dengan banjir perlu mengambil
langkah berjaga-jaga kerana ancamannya bukan hanya pada paras banjir itu
tetapi juga pada bahaya yang tersembunyi seperti jangkitan penyakit dan
keselamatan.
Pegawai perubatan dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Beyond
Borders Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman berkata terdapat 2 jenis risiko yang
perlu diberi perhatian semasa banjir iaitu risiko jangkitan penyakit dan
juga kecederaan.
Menurutnya terdapat 2 jenis penyakit berjangkit yang biasa berlaku di
kalangan mangsa banjir adalah penyakit bawaan air dan vektor seperti
malaria dan denggi.
“Penyakit bawaan air seperti kolera, demam tifoid, kencing tikus dan
hepatitis A. Ini semua berlaku akibat kuman atau virus yang berada di
dalam air masuk ke dalam tubuh kita. Selain itu, kuman juga boleh
memasuki tubuh melalui kecederaan terbuka pada tubuh sehingga
menyebabkan kancing gigi.
“Kecederaan selalunya terjadi ketika mangsa berjalan di dalam banjir
atau berenang tanpa menyedari bahaya yang berada di dasar air seperti
serpihan kaca atau besi karat.
“Tetanus pula berpunca daripada kuman di dalam tanah. Ketika banjir,
tanah dan air telah bercampur menyebabkan kuman dari tanah bergerak
rawak di dalam air yang memudahkan jangkitan berlaku menerusi
kecederaan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Dr Mohd Lutfi Fadil berkata penyakit vektor pula berpunca daripada
jangkitan haiwan atau serangga yang membiak di dalam air seperti nyamuk
aedes.
“Bila hujan, ada banyak takungan air jernih yang menjadi tumpuan nyamuk
untuk membiak. Ibu bapa atau penjaga kena elak anak berenang dalam air
banjir bagi mengelak berlaku hipotermia selain mesti amalkan kebersihan
tangan.
“Dan yang paling penting bagi saya ialah menyediakan bekalan air bersih
di tempat evakuasi banjir. Pasukan sukarelawan perlu peka terhadap
keperluan ini ketika menyalurkan bantuan. Selain bekalan air bersih,
kelambu juga perlu disediakan,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan mangsa banjir untuk berwaspada
dengan bahan kimia yang dibawa arus banjir dari kawasan perindustrian
dan juga daripada bateri kereta apabila sesebuah kenderaan ditenggelami
air bagi mengelak kecederaan akibat bahan kimia.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cawangan Terengganu,
Lt Kol (PA) Adam A Rahman turut mengingatkan mangsa banjir supaya
menjaga kebersihan diri dan kawasan evakuasi serta memantau keselamatan
kanak-kanak.
Menurutnya kegagalan menjaga kebersihan boleh meningkatkan risiko keracunan makanan ataupun jangkitan silang.
“Jangkitan silang berlaku apabila seseorang itu menggunakan sesuatu
peralatan dan ia kemudiannya digunakan oleh individu lain. Jadi bakteria
atau kuman daripada individu pertama tadi dipindahkan kepada individu
kedua tanpa disedari.
“Selain kebersihan, ibu bapa perlu memantau dan elak anak mereka
daripada bermain air banjir, terutamanya yang masih di bawah umur. Kita
khuatir ada lubang besar, longkang, tanah jerlus ataupun lubang yang
tidak bertutup seperti telaga. Mereka juga perlu berwaspada dengan
kemungkinan adanya haiwan berbisa seperti ular air,” jelasnya.
Adam turut menasihatkan mangsa yang pulang ke rumah dari pusat evakuasi
agar memeriksa bahagian dalam dan luar rumah mereka bagi memastikan
tidak ada haiwan berbisa yang bersembunyi serta bahan tajam yang dibawa
arus banjir.
No comments:
Post a Comment