Isu kesesuaian novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin yang sebagai bahan bacaan pelajar tingkatan empat perlu dilihat secara lebih meluas dan dirungkai dengan mendalam.
Selain dakwaan bahawa banyak nilai negatif terkandung dalam novel itu ia juga dianggap kurang menepati matlamat subjek kompenan sastera (Komsas) di sekolah, iaitu membentuk pembangunan diri dan memupuk nilai murni di kalangan pelajar.
Beberapai pihak juga berpendapat novel berkenaan lebih berkonsepkan popular semata-mata.
Pantai Kasih mengisahkan pergolakan hidup petugas-petugas di Pusat Rawatan Pantai Kasih yang diburu keresahan serta ketakutan kesan kes penyamaran seorang lelaki yang kurang siuman sebagai doktor di hospital itu.
Dua watak, iaitu Dr Raiha dan Dr Uwang, juga digambarkan sebagai individu mempunyai masalah peribadi tersendiri.
Dr Raiha diburu kegelisahan hidup setelah kematian anak dan suaminya, manakala Dr Uwang tersepit di antara desakan kata hatinya untuk memburu keuntungan dan keinginan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pesakit.
Kegagalan menyelamatkan seorang pesakit remaja setelah menjalani enam pembedahan di pusat rawatan tersebut juga menyebabkan berlakunya konflik antara mereka.
Selain padat dengan beberapa masalah semasa, terlalu banyak persoalan dibangkitkan, antaranya:
Kepentingan diri melebihi kepentingan masyarakat - Ia boleh dilihat melalui sikap lebih mementingkan keuntungan syarikat - melalui melalui watak Dr Uwang yang tidak menghiraukan kesusahan pesakitnya, Unong Siron.
Dr Uwang juga sanggup menghantar anak perempuan tunggalnya duduk di sekolah berasrama seawal usia tujuh tahun semata-mata untuk tidak mengganggu rutin dan statusnya.
Tambahan pula anak itu lahir hasil keterlanjuran, sedangkan dia memang tidak menginginkan anak apabila berumah tangga.
Sikap suka berfoya-foya di luar walaupun sudah berumah tangga - Sikap Dr Uwang yang masih berfoya-foya walaupun sudah berumah tangga menggambarkan dia seorang yang memilih gaya kehidupan bebas dan tidak mahu dikongkong.
Walaupun sudah berumah tangga, dia tetap mengunjungi kelab-kelab malam dan minum arak bersama gadis pelayan sebelum kemudian berakhir di ranjang.
Namun sikapnya yang memastikan 'kebersihan' pada ‘isteri tidak sah’ itu menjadikan dia seorang yang pemilih.
Keruntuhan rumah tangga - Keruntuhan institusi rumah tangga akan menyebabkan seseorang menghadapi trauma yang berpanjangan.
Dr Raiha sentiasa dibayangi kisah silam termasuk keruntuhan rumah tangganya. Sikap Dr Sadiz yang keterlaluan memintanya menggugurkan kandungan mereka, dan juga menggantung Dr Raiha tidak bertali selepas menang dalam kes perbicaraan menjadikan peristiwa hitam tersebut tidak luput dalam masa singkat.
Babak lucah yang menjadi pertikaian pula berkaitan hubungan intim serta gaya hidup mewah antara doktor dan jururawat.
Antara petikan ayat yang terkandung dalam buku tersebut ialah: “Bagaikan tidak dapat ditangguhkan lagi, Doktor Sadiz sudah tidak mampu mengawal nafsunya. Raiha telah menjadi mangsa kerakusannya. Tanpa sebarang perencanaan dan tanpa kerelaan Raiha, terlucutlah sel daripada genetik ‘istimewa’ milik Doktor Sadiz ke dalam badan Raiha.
“Doktor Sadiz terus menyeringai dan terus giat menyempurnakan autopsi ataupun bedah siasat ke atas jasad Raiha yang terhimpit dan terlentang di atas lantai lif itu”.
Secara keseluruhannya novel Pantai Kasih tidak memberi sebarang teladan yang baik kepada pelajar selain teks ini dianggap satu bahan bacaan membosankan.
No comments:
Post a Comment