Malaysiakini bukan untuk dijual, kata pengasas bersamanya sebagai reaksi kepada dakwaan ada sekutu Umno bercadang membeli beberapa laman sesawang, termasuk portal berita nombor satu negara itu.
Ketua pegawai eksekutifnya, Premesh Chandran berkata Malaysiakini tidak dihubungi pelabur sebegitu dan tidak akan melayan mereka jika ada.
"Malaysiakini berterima kasih kepada pelanggan kerana menyokong kami selama ini. Dengan sokongan mereka kami mampu berdaya maju dan bebas," katanya.
Untuk mengakses laman sesawang berita berbahasa Inggeris pelanggan Malaysiakini membayar RM150 setahun atau RM388 untuk tempoh tiga tahun.
Kata Premesh (gambar), meminta pembaca melanggan untuk mendapatkan berita bukan sesuatu yang keterlaluan.
"Sebagai balasan kami akan memastikan Malaysiakini kekal bebas daripada campur tangan luar dan terus memberikan laporan tanpa takut atau berpihak," katanya.
Menurut beliau pihak yang berurusan dengan Malaysiakini sedar bahawa keputusan editorial dibuat oleh wartawan dan editor portal berkenaan.
Sementara itu Ketua Pengarang Kumpulan Steven Gan berkata pengasas laman sesawang berkenaan tahu bagi memastikan Malaysiakini kekal bebas sejak 16 tahun lalu, ia perlu berdikari dari segi kewangan.
“Malaysiakini tidak akan menjadi apa yang anda lihat hari ini tanpa penyokong kami yang menyumbang sejumlah kecil wang untuk memastikan wartawan melaksanaan misi laman sesawang ini terus diyakini," katanya.
Gan juga menegaskan pengasas Malaysiakini mahu portal berita itu dipimpin oleh pasukan wartawan dan editornya.
"Malaysiakini milik mereka, dan untuk pembaca serta penyokongnya," kata Gan.
Jenama diyakini
Menurut beliau, kesan buruk kawalan media tradisional oleh pemilik yang mempunyai kaitan politik akan terlihat pada dunia atas talian tidak lama lagi.
Katanya, pengguna berita perlu memberikan sumbangan lebih banyak jika mahu pertubuhan media kekal bebas daripada campur tangan politik dan perniagaan kroni mereka.
"Jika mereka tidak membayar untuk mendapatkan berita, ada pihak lain yang bersedia melakukannya. Dan pada akhirnya, ahli politik dan taikun adalah pihak yang menikmati kebebasan media, bukan rakyat," katanya.
Kata Premesh, pengiklanan juga memainkan peranan penting memastikan pertubuhan media kekal berdaya saing.
"Setiap bulan Malaysiakini diakses dari lebih sembilan juta komputer peribadi dan telefon genggam setiap bulan. Kami percaya ia mewakili bahagian pengiklan yang bernilai," katanya.
Malaysiakini satu-satunya media yang menampilkan empat kumpulan bahasa di Malaysia.
"Kami memiliki pembaca yang besar dan meyakini jenama kami. Ia tentu menawarkan landasan yang besar kepada pengiklan," katanya.
Namun, tidak memiliki sokongan kewangan utama membawa kepada keterbatasan.
Kata Premesh, dengan bergantung kepada pengiklanan dan langganan saja memaksa Malaysiakini berjimat cermah dalam perbelanjaan.
"Kami perlu lebih berhati-hati terhadap perkembangan dan terpaksa memotong perbelanjaan jika ia merugikan.
"Ketika kami mahu melakukan lebih lagi dan berkembang pesat, ia membawa risiko besar," katanya.
No comments:
Post a Comment