Sunday, January 24, 2016

Krisis MB Kedah: Jangan babitkan sultan, rakyat

MALAYSIAKINI


 


Pihak yang terlibat dalam kemelut kepimpinan di Kedah diingatkan tidak mengheret istana dan rakyat bagi menyempurnakan agenda masing-masing.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, rakyat ketika ini sedang menghadapi kesukaran hidup akibat kos sara hidup yang tinggi.

Keadaan itu, kata bekas naib presiden PAS berkenaan, berlaku disebabkan "kelemahan" Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak "menguruskan kehidupan rakyat"

Dalam kenyataan medianya hari ini Mahfuz berkata selepas lima hari usaha menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (gambar) daripada jawatannya sebagai menteri besar dan Ketua Perhubungan Umno Kedah belum berhasil.

Namun, katanya, usaha berkenaan dipercayai sedang berterusan dan digerakkan oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan "didalangi pula oleh tok datang wayang kulit" di Putrajaya.

"Apa yang menyedihkan ialah, daripada cakap-cakap dan mesej di media sosial, komplot ini cuba mengheret Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan untuk meyakinkan rakyat serta menghalalkan tindakan mereka," katanya.

Mahfuz yang turut pernah berkhidmat sebagai Ketua Penerangan PAS mendakwa gerakan menyingkirkan Mukhriz itu didorong oleh keinginan menyerang balas terhadap desakan pihak tertentu untuk mengundurkan Najib daripada jawatan Presiden Umno dan perdana menteri.

Heret perbuatan jahat

Katanya, "komplot" terhadap Mukhriz itu adalah kesan daripada kritikan keras Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Najib.

"Ia boleh disifatkan seperti pepatah pukul anak sindir menantu.

"Satu 'penampar' untuk Mukhriz adalah juga 'tendangan' buat Dr Mahathir," katanya.

Pada 20 Januari lalu Ahmad Bashah (gambar) mengetuai sidang media bersama beberapa pimpinan Umno Kedah mendesak supaya Mukhriz digantikan dengan tokoh lain sebagai menteri besar.

Selain dilantik sebagai Timbalan Ketua Perhubungan Umno Kedah, Ahmad Bashah adalah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Tindakan itu bagaimanapun dibaca penganalisis sebagai reaksi kepada kelantangan Dr Mahathir mengkritik Najib, selain pendirian Mukhriz sendiri yang memihak kepada bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Mahfuz, paparan laporan sesetengah media arus perdana menampakkan kepada rakyat kononnya tuntutan menggantikan Mukhriz adalah kehendak orang ramai.

"Ia bertujuan untuk memberi tekanan kepada Sultan Kedah mempercepatkan perkenan mengguling Mukhriz daripada jawatan menteri besar.

"Tindakan mengheret sultan dalam kemelut politik dalaman Umno Malaysia dan di Kedah suatu perbuatan jahat," katanya.

Mahfuz juga berpendapat, langkah membabitkan istana dan rakyat dalam usaha menggulingkan Mukhriz dibuat bagi mengawal kemarahan orang ramai yang tidak bersetuju dengan langkah itu.

"Bagi mereka, kalau rakyat nak marah (atas penggantian menteri besar), marahlah kepada sultan. Najib serta pimpinan Umno Kedah boleh tidur lena," katanya.

No comments: