Sunday, January 24, 2016

Pemuda AMANAH ajak berkampung di parlimen

MALAYSIAKINI


 


Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menyeru rakyat di negara ini untuk berkampung di parlimen pada Selasa dan Rabu bagi mendesak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ditolak.

Naib Ketua Pemudanya AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin berkata kedua-dua hari berkenaan merupakan saat genting kerana ia bakal menentukan "jatuh bangunnya negara ini".

“Pemuda AMANAH mengajak seluruh rakyat untuk berkampung depan parlimen ketika TPPA ini dibahaskan bermula pagi 26 Januari hinggalah 27 Januari.

“Di pusingan bantahan paling penting ini, rakyat harus bersama-sama pastikan seluruh Ahli Parlimen mengundi untuk tolak perjanjian tersebut,” kata Shazni dalam kenyataannya hari ini.

Parlimen dijadual membahaskan isu TPPA pada Selasa dan Rabu ini sebelum proses undian sama ada ia diterima atau ditolak, dijalankan.

Pakatan Harapan sudah memutuskan untuk mengundi menolak TPPA ditandatangani.

Shazni Munir berkata, mesej utama yang harus disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah supaya tidak memperjudikan nasib rakyat di negara ini.

"Jangan perjudikan nasib rakyat dan kedaulatan negara. Rakyat wajib tahu bahawa TPPA ini satu bentuk penjajahan baru antara rakyat Malaysia dan syarikat-syarikat multinasional yang berpengkalan di negara-negara maju.

“Usah berhujah bahawa rakyat takut kepada persaingan luar. Sebenarya rakyat Malaysia hari ini hilang daya saing ketika Barisan Nasional memerintah.

“Kamu (BN) gagal sebagai pemerintah. Kemahuan kami hanya satu - seluruh ahli parlimen khususnya daripada blok BN menolak TPPA dalam undian di palrimen," katanya.

No comments: