Friday, October 2, 2015

Jerebu tidak mengenal sempadan negara

SINAR HARIAN



Jerebu
Keadaan jerebu terkini di Singapura. Bacaan IPU yang dicatatkan mencecah 250 pada tengah hari tadi. - Foto EPA


PUTRAJAYA - Diplomasi sains perlu diguna pakai untuk menangani masalah jerebu yang melanda negara, kata Setiausaha Agung Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Ahmad Zaidee Laidin.
  
Katanya, diplomasi sains harus digunakan kerana jerebu tidak mengenal sempadan negara dan boleh datang dan pergi menerusi tiupan angin.
  
"Menerusi diplomasi sains, setiap negara akan memikirkan tindakan yang perlu diambil setiap kali komunikasi berlaku," katanya dalam ucapan ketika majlis penutup Bengkel Saintis Muda Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengenai Keberkesanan Sains Komunikasi di Abad ke-21, di sini, semalam.‎
  
Definisi Wikipedia untuk diplomasi sains adalah penggunaan kerjasama saintifik antara negara bagi menangani masalah sama dan mewujudkan perkongsian antarabangsa yang membina.
  
Ahmad Zaidee berkata, selain jerebu, saintis juga perlu dipersiapkan untuk memainkan peranan sebagai penghubung serba boleh dan pendidik dalam isu seperti tenaga, krisis air, penyakit berjangkit seperti wabak Ebola, influenza, denggi, kemarau, banjir dan tanah runtuh.
  
Pada Rabu lalu,‎ Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, pihaknya memerlukan tiga tahun untuk mengatasi pembakaran hutan di negara itu, serta menangani masalah jerebu yang dihadapi negara jiran mereka ketika ini.
  
[ARTIKEL BERKAITAN: Indonesia perlu tiga tahun selesai masalah jerebu]

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) kementerian, Dr Zulkifli Mohamed Hashim berkata terdapat keperluan mendesak untuk menyebarkan maklumat kepada ramai dalam istilah biasa.
  
Bagi menjayakan idea itu, komuniti sains perlu mengasah kemahiran sains komunikasi mereka, katanya.
  
Bengkel anjuran bersama Rangkaian Saintis Muda ASM,  APEC dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu dihadiri 70 peserta tempatan dan luar negara terdiri daripada saintis muda dan pengamal media dari 10 negara anggota APEC.
  
Hasil kajian kes daripada bengkel ini akan digunakan sebagai panduan untuk membangunkan dasar sains komunikasi yang berkesan oleh ekonomi APEC.    - Bernama


No comments: