shahbudindotcom
Baru
beberapa hari yang lalu, Ahli Parlimen Mersing, Abdul Latif Ahmad
memuji Najib Razak yang disifatkannya umpama "roti canai bertelur"
kerana keberaniannya melaksanakan cukai GST dalam suasana ekonomi dunia
yang tidak menentu.
Menurut
beliau, Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim yang pernah menjadi
Menteri Kewangan sebelum ini pun tidak cukup keberanian untuk
melaksanakan sistem cukai itu.
Dengan
ini Najib adalah seorang yang berani. Ini bukan nasib, tapi ini adalah
kepandaian dan kebijaksanaan yang terancang, kata beliau melontarkan
pujiannya.
Abdul
Latif berkata demikian sebagai menolak andaian pelbagai pihak yang
menyifatkan Najib sebagai pemimpin penakut berikutan sikapnya yang tidak
cukup tegas, lambat dan terlalu berhati-hati dalam banyak perkara
sehingga label yang sering dikaitkan dengannya ialah umpama "roti canai
kosong" atau "roti canai tanpa telur".
Antaranya
sikap penakutnya ialah tentang tindakannya mahu menyaman akhbar The
Wall Street Journal atau WSJ yang masih tertangguh sehingga kini
walaupun berpuluh-puluh hari Selasa telah berlalu sebagaimana yang
dijanjikannya sebelum ini.
Setelah
surat tuntutan penjelasan yang dihantar kepada WSJ dijawab dengan
mereka tetap mempertahankan laporan yang dibuat mengenai wang RM2,600
juta yang masuk ke akaun peribadinya, Najib kini menjadikan kepastian
mengenai Akta Speech pula sebagai alasan menangguhkan samannya itu.
Kemudian
apabila bekas Presiden MCA, Ling Liong Sik membuat dakwaan bahawa Najib
"mengambil wang orang lain untuk dimasukkan ke poketnya" sambil
bersetuju dengan gesaan Tun Mahathir tentang perlunya beliau berundur
daripada jawatannya, Perdana Menteri juga menghantar notis tuntutan
meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut dalam tempoh masa
tujuh hari sekiranya tidak mahu berdepan dengan saman di mahkamah.
Bagaimanapun
Ling Liong Sik hanya memerlukan tempoh masa kira-kira tiga hari saja
untuk menjawab tuntutan itu dengan bertegas tidak akan menarik balik
atau memohon maaf, sebaliknya sedia berdepan di mahkamah bersama
keinginan mahu melihat Najib berdiri di kandang saksi mempertahankan
dirinya.
Namun
demikian, sehingga ke hari tidak diketahui sama ada saman itu akan
menjadi kenyaaan atau sebaliknya. Peguamnya, Hafarizam Harum semalam
hanya berkata, beliau akan menemui Najib dalam waktu terdekat ini untuk
mendapatkan kata putus mengenainya.
Soalnya, bila lagi mahu disaman bekas Presiden MCA itu? Kenapa terlalu lambat dan terhegeh-hegeh dalam bertindak?
Jika
benar berani melaksanakan GST sebagai tanda "roti bertelur", kenapakah
dalam melakukan tindakan saman seperti tidak cukup keberanian sedangkan
ia telah dilafazkan sebelum ini?
Di
ketika rakyat hampir seluruhnya bersetuju mengenai "roti canai kosong"
yang selalu dikaitkan dengan Najib itu dan menjadikannya sebagai
gurauan sama ada di media sosial dan juga dalam kehidupan seharian, hari
ini Ling Liong Sik sendiri melahirkan kehairanan tentang kelambatan
itu.
Saya
juga kehairanan mengapa beliau mengambil masa yang terlalu lama untuk
menyaman, tetapi saya akan terus bersabar, kata Ling lagi.
Dengan
kenyataan ini bermakna Ling sendiri mahu dirinya cepat disaman oleh
Najib. Beliau jelas tidak sabar mahu berdepan dengan Perdana Menteri di
mahkamah.
Tidak
ramai orang sebenarnya di dunia ini yang mahu atau suka kena saman,
lebih-lebih lagi oleh seseorang yang berjawatan Perdana Menteri.
No comments:
Post a Comment