IPOH – Pihak polis mengesahkan menerima maklumat terdapat individu atau kumpulan tertentu yang dijangka akan menimbulkan insiden tidak diingini serta boleh menggugat perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berlangsung di Stadium Perak, Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sebelum ini telah berlaku kekecohan pada dua perlawanan bola sepak melibatkan kedua-dua pasukan tersebut dan polis pernah membuat tangkapan serta menuduh mereka yang terbabit di mahkamah kerana melakukan kekacauan.
“Berikutan itu, semua pegawai dan anggota polis sudah bersiap sedia untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba menggagalkan perlawanan tersebut sama ada sebelum, semasa atau selepas perlawanan.
“Kita memberi amaran sekiranya ada pihak yang cuba membuat kekacauan, tindakan undang-undang akan diambil dan siasatan serta pertuduhan akan dilaksanakan di mahkamah mengikut kesalahan yang dilakukan.
“Pada perlawanan kali ini, kita telah menetapkan supaya penyokong dan penonton tidak membawa barangan larangan seperti senjata berbahaya, suar, mercun dan objek yang boleh mendatangkan kecederaan kepada penonton lain.
“Selain itu, sebarang peralatan bunyian seperti dram dan gong juga tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke stadium pada perlawanan kali ini.
“Sehubungan itu, pemeriksaan rapi akan dilakukan ke atas penyokong dan penonton sebelum mereka dibenarkan masuk ke dalam stadium pada Ahad ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
No comments:
Post a Comment