Friday, October 30, 2015

PAS guna politik baru, kerjasama dengan NGO dan parti serpihan lain

 Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali mengesahkan bahawa PAS kini sedang bergerak ke arah agenda politik baru dengan menjalinkan kerjasama dengan individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan kebaikan kepada parti.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata langkah berkenaan diambil atas pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memutuskan parti berkenaan bergerak sendiri tanpa bertahaluf dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pakatan Harapan (PH).
 
"Kita sedang kearah itu (politik baru PAS) untuk kita berhadapan dengan PRU 14, kita rasa itu lebih baik berbanding kita hanya bergantung kepada rakan-rakan gergasi yang kadang 'makan' kita pula. Itu yang berlaku", jelas Khairuddin.
 
PAS terus menolak untuk bekerjasama dengan Umno-BN seperti mana yang dinyatakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan awal hari ini.
 
Takiyuddin berkata PAS tidak akan sesekali bekerjasama dengan Umno-BN dan hanya akan kekal sebagai pembangkang tanpa menyertai Pakatan Harapan.
 
Malah ujar Khairuddin, PAS terbuka untuk bekerjasama dengan parti kecil-kecilan yang mahu memperjuangkan isu-isu rakyat.
 
"Bukan hanya satu (individu) tapi kita nak ramai lagi. Pertama kita (PAS) nak menerusi Kongres Rakyat mencari pelbagai NGO supaya bekerjasama dengan kita supaya kita dilihat sebagai pejuang isu-isu rakyat. 
 
"Disana banyak parti-parti serpihan atau kecil-kecilan walaupun mungkin mereka tidak menjadi gergasi (dalam pembangkang) tetapi mereka boleh membantu dari segi sedikit atau banyak. 
 
"Kita lihat di Sabah dan Sarawak, mereka ini ada pandangan tersendiri dan mereka boleh bersama kita sebenarnya politik ini mesti kita perluaskan, kerjasamanya kita perluaskan", katanya di lobi Parlimen.
 
"Mungkin banyak lagi parti di Sabah dan Sarawak yang boleh bersama kita", katanya.
 
Antara parti berkenaan adalah Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang ditubuhkan oleh bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
 
 

No comments: