Sabtu, 9 Mei 2015

Umno keanak-anakan ungkit dana masjid




Oleh MUHAMMAD NURUDDIN BASHAH

 
SIKAP keanak-anakan Umno-BN yang mengungkit peruntukan kerajaan Pusat senilai RM 75.21 juta untuk pembinaan 14 masjid di seluruh Pulau Pinang sejak tahun 2007 terserlah. Mereka mengungkit tatkala sibuk menarik perhatian pengundi Melayu di Permatang Pauh baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin berbangga dengan sejumlah besar peruntukan termasuk tambahan lebih RM180 juta untuk aktiviti keagamaan.


Rakyat yang bijak tidak akan termakan mudah angka kasar sebegini. Umno-BN perlu spesifikkan bagaimana wang peruntukan itu dibelanjakan kerana ‘track record’ kerajaan BN yang tiris dan korup dalam pelbagai isu tabung, dana dan bantuan.

Misalnya tabung khas untuk mangsa tsunami Kuala Muda Kedah. Di mana peruntukan itu disalurkan dan apa laporan auditnya? Hakikatnya kini masih ada ratusan pendudukan di persisiran pantai Kuala Muda Kedah yang belum menerima tapak tanah yang digazetkan dan rumah baru yang dijanjikan.
Hanya fasa pertama sahaja yang menerima rumah baru di Taman Permatang Katong.

Kemudian dikatakan dana disalurkan ke Kuala Muda Seberang Prai di mana rumah kurang risiko tsunami pula menerima rumah baru.

Maklumlah ia kawasan Perdana Menteri ketika itu.

Contoh terbesar kedua adalah penyelewengan dana RM800 juta untuk bantuan banjir Pantai Timur. Seharusnya sebahagian peruntukan berjumlah di antara RM500 ke RM600 juta diserahkan kepada kerajaan Kelantan, namun, dalam keadaan isu yang berlarutan semua faham bahawa angka berkenaan ‘wayang’ sahaja. Ada yang makan atas angin di atas penderitaan saudara sendiri.

Kembali kepada isu bantuan masjid, fakta yang perlu diterima umum adalah di zaman Pakatan Rakyatlah masjid di Pulau Pinang bebas berkuliah, bebas bercakap isu hudud, mengkritik maksiat kerajaan Pusat dan ada penceramah yang juga bebas mengkritik jika ada kesilapan Pakatan Rakyat sendiri.

Ada penceramah yang digam di negeri tertentu sebaliknya bebas berceramah di Pulau Pinang sejak Pakatan Rakyat ‘menjaga’ masjid di negeri tersebut. Inilah kebebasan yang sebenarnya diperlukan oleh para aktivis masjid dan surau iaitu kebebasan memancarkan dakwah di masjid dan surau bukannya dambakan kubah emas dan mimbar perak sebagai perlambangan pemurahnya sesebuah kerajaan.

Jika ingin dibandingkan dari aspek perangkaan, kerajaan Pulau Pinang juga menjaga masjid dan pendidikan Islam melalui tambahan peruntukan.

Sebanyak RM11.17 juta diperuntukkan pada tahun 2014 di bawah peruntukan pembangunan agar institusi masjid dan surau serta institusi pendidikan Islam seperti Sekolah Agama Rakyat di seluruh Neger i Pulau Pinang terus kekal membangun dan berdaya saing serta peningkatan peruntukan sebanyak 9.3% berbanding tahun 2013 iaitu RM10.22 juta.

Pendek kata, usaha Umno menarik hari pengundi Islam dengan mengungkit bantuan adalah sangat tidak berkesan bagi rakyat Permatang Pauh yang telah lama celik dengan taktik rutin BN dalam semua PRK, iaitu tabur bantuan dan ungkit bantuan.

(^)  MUHAMMAD NURUDDIN BASHAH Exco Dewan Pemuda PAS Kedah

Tiada ulasan: