BAGAN SERAI: Seorang maut manakala dua parah apabila kenderaan dinaiki tiga lelaki terbabas di Kilometer 187 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian itu kira-kira jam 6.30 pagi itu, Penolong Pegawai Tadbir di Institut Latihan Perindustrian Jitra, Ahmad Termizi Hasan, 57, bersama dua rakan sekerjanya dipercayai dalam perjalanan ke Melaka.
Mangsa yang tersepit maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Penolong Bomba Kanan II, Nasir Wahab, berkata pihaknya yang menerima maklumat berhubung kejadian, bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa sedang tersepit di tempat duduk penumpang depan.
Katanya, mangsa bersama seorang rakan tersepit di bahagian depan manakala seorang lagi rakan mereka yang berada di tempat duduk belakang berjaya keluar dari kenderaan itu dan hanya cedera ringan.
"Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan alat menyelamat bagi memotong rangka kenderaan terbabit.
"Mangsa yang berada di bahagian penumpang depan disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik dan dikeluarkan 15 minit kemudian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala pemandu yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan