Jumaat, 8 Mei 2015

Pening Kepala Bila Zahid Kata Permatang Pauh Tunjuk Simptom Positif Kepada BN

shahbudindotcom


Apabila Naib Presiden UMNO yang juga Pengarah Jentera Pilihanraya Permatang Pauh, Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan pilihanraya itu semalam menunjukkan simptom positif kepada BN, tentu ramai yang pening kepala memikirkannya.

Apa dan di mana simptom positif daripada kekalahan itu?

Ini kerana BN bukan saja terus gagal untuk menawan Permatang Pauh, bahkan peratusan undi BN hampir tidak meningkat berbanding pilihanraya umum lalu.

Dalam pilihanraya umum lalu, calon BN Dr Mazlan Ismail mendapat sebanyak 25,360 undi daripada 88.3 peratus yang keluar mengundi. Ini bermakna sokongan yang diterima BN ialah 40.06 peratus.

Dalam pilihanraya kecil kali ini pula, calon BN Suhaimi Sabudin mendapat 21,475 undi daripada 73 peratus yang keluar mengundi. Ia bermakna sokongan yang diterima BN hanyalah 40.44 peratus saja.

Apakah peningkatan 00.38 peratus itu boleh dianggap simptom positif kepada BN?

Dari segi undi yang diperolehi PKR pula, ia jelas tidak jauh berbeza. Dalam pilihanraya umum lalu,  Anwar yang menjadi calon mendapat 37,090 undi atau 58.57 peratus berbanding Dr Wan Azizah yang mendapat 30,316 atau 57 peratus sokongan.

Berbekalkan dengan sebahagian besar pemimpin UMNO dan kerajaan berkampung di Permatang Pauh membawa segala macam peruntukan dan buah tangan kepada pengundi, malangnya undi PKR yang berjaya diturunkan hanyalah sebanyak 1.57 peratus saja.

Penurunan undi PKR sebanyak 1.57 peratus inikah yang dianggap simptom positif kepada BN itu?

Lebih memeningkan kepala apabila dalam ulasannya Zahid Hamidi juga berkata, "simptom positif ini membawa sinar baru kepada perjuangan UMNO di Permatang Pauh".

Kata Zahid lagi, walaupun tewas dalam pilihanraya kecil ini tetapi ia menampakkan perubahan dan "peningkatan sokongan yang besar"  kepada BN.

Di mana sebenarnya sinar baru dan wujudnya "peningkatan sokongan yang besar" kepada BN?

Keputusan pilihanraya kecil Permatang Pauh bukan saja memberi "isyarat demam berpanjangan" kepada UMNO dan BN, tetapi yang lebih memualkan ialah pemimpin UMNO nampaknya masih dibuai simptom syok sendiri yang berlebih-lebihan.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said,  tidak sekadar melahirkan keyakinan untuk menang, bahkan mengatakan pihaknya sudah pun menggerakkan jentera pilihanraya sejak Februari lagi.

Amboii...kalau dah bergerak sejak Februari lagi, takkan keputusan jadi lagu ni?

Zahid Hamidi pula, pada dua hari sebelum pembuangan undi tempohari mengatakan ada angin perubahan sedang bertiup kuat di Permatang Pauh dan ianya amat dirasai oleh jentera BN.

Katanya, suasana di Permatang Pauh kali ini amat berbeza berbanding sesama pilihanraya kecil 2009 lalu.

Tetapi berdasarkan keputusan pengundi yang terus memberi kemenangan kepada PKR melalui calonnya Dr Wan Azizah dengan majoriti 8,841, selain tiada angin perubahan yang bertiup, apa simptom positif yang dimaksudnya Zahid Hamidi juga sukar difahami.

Apakah Zahid masih ingin menunjukkan beliau lebih berjaya berbanding Hishammuddin yang mengetuai jentera Rompin tetapi perolehan undi BN merosot sebanyak 41 peratus berbanding pilihanraya umum lalu?

Ahh...makan panadol lima enam biji pun tak hilang lagi pening kepala memikirkan justifikasi Zahid ini.


Pening memikirkan di mana tanda positifnya kepada BN...

Ini tidak lebih ayat syok sendiri dua hari sebelum pembuangan undi...

Nyanyian ini lagi syahdu...
 
 

Tiada ulasan: