Isnin, 25 Mei 2015

Mencari Perdana Menteri Baru

shahbudindotcom

 Di mana-mana ketika ini isu pertukaran Perdana Menteri sudah menjadi percakapan umum yang jarang terlepas daripada bibir perbualan rakyat.





Orang kampung, orang bandar, ahli parti, mereka yang berkecuali, pegawai kerajaan, swasta, pencari kerja, anak muda dan sesiapa saja, malah boleh dikata  hampir semua rakyat bercakap isu yang sama.

Bertemu di kedai kopi, berbincang soal bisnes ketika makan tengahari, terserempak rakan lama di kaki lima jalan, berbual di telefon atau bermesej melalui Whatsapp, topik masa depan Najib dan siapa bakal Perdana Menteri baru sentiasa menjadi tajuk yang boleh dianggap "kurang patriotik"  jika tidak diperkatakan.

Najib Razak bagi majoriti rakyat, dengan pelbagai isu yang sudah diketahui umum dan bebannya kepada negara, dilihat semakin tidak layak serta tidak diperlukan lagi sebagai peneraju negara ini.

Untuk keluar dari segala kemelut dan kegelapan yang ada sekarang, sekurang-kurangnya buat sementara waktu, kata putusnya ialah negara memerlukan seorang Perdana Menteri baru dengan segera.

Sama ada Perdana Menteri baru itu hanya sementara sehingga PRU 14 akan datang atau mampu meneruskannya selepas itu, semuanya bergantung kepada siapa yang bakal dipilih dan kemampuannya mendepani segala cabaran itu nanti.

Lantaran itu, pertanyaan paling popular ialah bila Najib nak berhenti? Yang lebih berani pula akan berkata, "cepatlah Najib berhenti, menyusahkan rakyat saja jika semakin lama jadi Perdana Menteri."

Susulannya, tentu saja ada yang bertanya, siapa bakal Perdana Menteri baru yang sesuai?

Muhyiddin Yassin? Tengku Razaleigh Hamzah? Atau siapa?

Untuk mengupas persoalan tersebut, sebuah forum akan diadakan pada Sabtu ini, 23 Mei di Dewan Sivik, Petaling Jaya, Selangor.

Forum bertajuk "Mencari Pemimpin Baru Malaysia" itu akan menampilkan ahli panel iaitu Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Affifudin Omar, bekas Timbalan Menteri Kewangan dan Muhammad Mohd Taib, bekas Menteri Besar Selangor.

Moderator forum pula ialah Prof. Dr Azmi Shahrom daripada Universiti Malaya.

Yang menariknya, ketiga-tiga ahli panel ini adalah bekas pemimpin UMNO yang sudah berbeza wadah - Zaid Ibrahim, selepas menyertai PKR dan memimpin KITA, mungkin tidak menganggotai mana-mana parti ketika ini, Affifudin masih bersama UMNO manakala Muhammad pula menyertai Pas sebelum PRU 13 lalu.

Berdasarkan pengalaman dan sudut pandangan yang berbeza ini, tentu saja banyak yang menarik apabila mereka memperkatakan tajuk yang sama iaitu siapa bakal Perdana Menteri baru untuk Malaysia?

Siapakah pilihan mereka? Untuk mengetahuinya sambil meluaskan daya pengetahuan dan sebagai tanda sayang dan cintakan negara ini, tanpa mengira anutan dan kiblat politik, ayuhhh...ramai-ramai kita ke sana!! 

Tiada ulasan: