Ahad, 17 Mei 2015

Malaysia mesti menunjukkan kehebatan sebagai pengerusi ASEAN



Oleh Haji Mohamad Sabu


Pelarian Rohingya yang terdampar di perairan Malaysia atau di mana-mana pantai negara kita, wajib diselamatkan. Ini adalah masalah kemanusiaan ajaran Islam yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran untuk membantu dan mengasihi sesama insan.

Selepas diselamatkan, pihak kerajaan Malaysia yang menjadi pengerusi ASEAN hendaklah memainkan peranan supaya pelarian itu dapat pulang ke negara mereka masing-masing melalui Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan lain-lain badan antarabangsa.

Malaysia tidak boleh berlepas tangan terhadap kemanusiaan, tidak kira mereka datang daripada mana, tidak boleh dibiarkan manusia itu mati di laut tanpa di selamatkan. Binatang pun wajib kita selamatkan, inikan pula manusia tidak kira mereka itu, dari mana, beragama apa, bangsa apa, mereka adalah manusia.

Malaysia mesti menunjukkan kehebatan sebagai pengerusi ASEAN menyelesaikan perkara ini dengan rakan-rakan ASEAN dan juga dengan PBB.

Kita juga mendesak kerajaan Burma menghentikan tindakan zalim ektrimis Budha terhadap rakyatnya sendiri ataupun orang yang berada di negaranya.

Pihak ektrimis dan jika didapati kerajaan Burma turut berkomplot dalam usaha penghapusan etnik tersebut maka wajib diambil tindakan dan dihukum oleh negara ASEAN dan negara-negara dunia yang bertamadun yang lain.

Kesimpulannya, nyawa pendatang Rohingya yang terapung diperairan kita terdiri dari anak-anak kecil, orang dewasa wanita dan lelaki, wajib diselamatkan dahulu dan selepas itu barulah memikirkan perancangan yang selanjutnya

(^)  Haji Mohamad Sabu  Timbalan Presiden PAS

Tiada ulasan: