SETIU: Jenazah Nur Artikah Alias, 25, yang meninggal dunia akibat
komplikasi pernafasan selepas asrama pelajar perubatan di Rusia terbakar
pada 22 April lalu dijangka tiba di tanah air pada Sabtu malam.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata,
ia susulan urusan teknikal serta dokumentasi berjaya diselesaikan hasil
perbincangan dengan kerajaan Rusia.
“InsyaAllah, (jenazah) akan sampai di KLIA pukul 10 malam esok (sabtu).
Jadi urusan untuk membawa balik diuruskan oleh kerajaan negeri
sepenuhnya.
“Kita jangka akan sampai di Pasir Putih, di rumah nenek kepada arwah
ini pada waktu pagi. Seterusnya akan dilaksanakan urusan pengkebumian,”
kata Ahmad Razif.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hospital Ekuin di Lembah Bidong, Setiu pada Jumaat petang.
Menurutnya, ibu bapa allahyarham yang berada di Rusia akan dibantu
pegawai Yayasan Terengganu bagi membawa pulang jenazah ke Kuala Krai,
Kelantan.
Pada jangkaan awal, jenazah allahyarham dijadual tiba di Kuala Lumpur
pada jam 9.45 malam, hari Khamis (7 Mei) apabila proses dokumentasi
diselesaikan.
Kerajaan negeri telah menanggung kos bagi membawa pulang jenazah Nur
Artikah selain pembiayaan kedatangan kedua-dua ibu bapa mangsa ke
Rusia.
Keadaan Nur Artikah dilaporkan kritikal sebelum disahkan meninggal
dunia ketika ibu bapanya berada di negara itu untuk menziarahinya.
Seramai 43 pelajar termasuk 21 pelajar Malaysia cedera apabila asrama
sebuah sekolah perubatan di Rusia setinggi 16 tingkat terbakar dalam
kejadian pada awal pagi 22 April lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan