Selasa, 12 Mei 2015

AMK: KJ sebenarnya sokong siapa?

MALAYSIAKINI


 


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar diminta supaya tidak hanya memikirkan tentang kelangsungan politiknya sahaja.

Ketua Pemuda PKR (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, selaku menteri dan ketua Pemuda Umno, Khairy sepatutnya dapat memberi aspirasi kepada anak muda dengan berani mempersoal tindakan pimpinan atasan.

Bagaimanapun, ADUN Seri Setia itu berkata, tindakan Khairy yang sering menukar pendirian berkaitan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melahirkan kebimbangan.

Nik Nazmi (kiri) berkata, Ahli Parlimen Rembau itu akan berhenti memberi pendapat kritikal.

"Dia (Khairy) sudah berulang kali menyatakan kerisauan dan meminta jawapan jelas terhadap isu-isu hangat seperti GST, 1MDB dan Tabung Haji, dan tiba-tiba pada hari yang seterusnya dia terus menukar pendirian dan menzahirkan sokongan penuh kepada Najib yang dibelenggu kemelut kepimpinan.

"Saya dengan ikhlas berharap agar komen terkini dia tidak bermaksud Pemuda Umno akan berhenti menyuarakan pendapat secara kritikal terhadap isu-isu yang dinyatakan di atas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Nik Nazmi berkata, sekiranya Khairy seorang yang berprinsip, beliau perlu menyahut cabaran Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli untuk berundur jika tidak menerima jawapan memuaskan berhubung isu-isu dibangkitkan.

"Jika Khairy seorang yang berprinsip, dia patut menyahut cabaran Rafizi Ramli untuk meletakkan jawatan jika dia tidak boleh menerima jawapan yang memuaskan berkenaan isu-isu kepincangan pengendalian transaksi oleh 1MDB dengan Tabung Haji dan KWAP.

"Kegagalan untuk membuat demikian membuktikan bahawa anak muda Malaysia tidak mempunyai suara di Putrajaya," katanya lagi.

Semalam, selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Khairy berkata, kenyataannya yang kritikal mengenai 1MDB bukan diajukan kepada Najib.

Sebaliknya, Khairy berkata kenyataan sebelum ini dibuat kerana beliau mengambil berat tentang isu semasa. 


Tiada ulasan: