Rabu, 4 Mac 2015

Umno Cheras: Bagaimana pula harta MB S'gor?

MALAYSIAKINI


 


Kesal dengan kenyataan pemimpin DAP yang terus mempertikaikan kekayaan keluarga perdana menteri, seorang pemimpin Umno mengungkit pula harta menteri besar Selangor.

Ketua Umno Cheras menyebut contoh bagaimana gaya hidup Azmin Ali dan isterinya yang sebelum ini yang didakwanya "memiliki aset yang meragukan".

Datuk Seri Syed Ali Alhabshee bagaimanapun tidak menghuraikan kekayaan ahli parlimen Gombak yang didakwanya meragukan.

Beliau berkata, sebelum Tony Pua mengungkit kekayaan keluarga Datuk Seri Najib Razak dan bapanya Tun Razak Hussien, lebih baik ketua penerangan DAP turut menafikan pemimpin Pakatan Rakyat juga menikmati kemewahan.

"Kalau betul Pua ingin menunjukkan dia telus, beritahu kepada rakyat bagaimana pula cara hidup pemimpin mereka (pembangkang)," kata Syed Ali di blognya hari ini.

Tambahnya, menyerang keluarga Najib khususnya mengaitkan dengan isu harta pusaka Razak "terlalu bersifat peribadi."

Syed Ali juga berkata tindakan Pua yang mempersoalkan harta pusaka itu "berniat jahat" dan cuba menanam tanggapan buruk terhadap keluarga Najib.

"Tindakan Pua mempersoalkan pendapatan (allahyarham) Tun Razak amat tidak wajar, langsung tidak menghargai sumbangan bekas perdana menteri itu," katanya.

Pua, ahli parlimen Petaling Jaya Utara, berkata kenyataan Najib di Utusan Malaysia dan Berita Harian semalam bertukar penolakan halus terhadap penjelasan pejabatnya sendiri bahawa kekayaannya berpunca daripada harta pusaka.

"Dari mana sebenarnya semua wang ini datang?" soal Pua dalam kenyataan hari ini.

Pua membangkitkan laporan The New York Times awal Februari bahawa keluarga Najib hidup dengan gaya mewah walaupun pendapatannya hanya RM350,000 setahun.

Beliau mahu Najib menjelaskan perkara itu kerana beliau hanya pernah berkhidmat sebagai menteri besar Pahang (1982-1986), menteri kabinet (1986-2004), timbalan perdana menteri (2004-2009) dan perdana menteri (2009 hingga sekarang).

Syed Ali kemudian mencabar pemimpin Pakatan Rakyat mengisytiharkan harta mereka kerana sebelumnya sering menyalahkan kerajaan.

"Pembangkang tidak pernah melihat diri mereka dalam cermin. Semua yang kerajaan lakukan salah. Jadi, saya mencabar mereka isytiharkan harta mereka juga," katanya.

"Jika wang yang diperolehi itu jujur, tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan."

Tiada ulasan: