Ketua
Pengarang Sinar Harian, Norden Mohamed (kiri) memberikan sedikit
penjelasan berkenaan operasi syarikat kepada Khairul Azwan (tiga, kanan)
dan barisan Exco Pemuda Umno pada sesi lawatan ke Sinar Harian semalam.
SHAH ALAM – [VIDEO] Pemuda
Umno kini menumpukan kepada usaha melahirkan lebih ramai pemimpin
pendapat atau opinion leader dalam kalangan ahli parti itu, terutama
melalui Akademi Kepimpinan Kapten Hussein yang baru ditubuhkannya.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata, akademi itu,
dinamakan sempena Ketua Pemuda Umno pertama iaitu Tun Hussein Onn akan
menggerakkan program latihan bagi melahirkan lebih ramai orang muda yang
boleh jadi pemimpin pendapat bagi menjuarai aspirasi, kehendak,
kebimbangan, cita-cita dan harapan orang muda.
“Alhamdulillah saya dapat lihat dalam kepimpinan Pemuda Umno, kita ada
contoh terbaik iaitu (Ketua Pemuda Umno) Khairy Jamaluddin sendiri yang
telah pun menjadi pemimpin pendapat dalam kalangan generasi muda serta
rakyat keseluruhannya.
“Saya sendiri bersama pimpinan Pemuda Umno dan BN berusaha ke arah itu
supaya bukan Khairy semata-mata yang ada, tetapi yang lain juga boleh
diketengahkan sebagai pemimpin pendapat bagi menjuarai suara anak muda,”
katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau ditemui semasa lawatannya ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf bersama Exco Pemuda Umno, semalam.
Dalam lawatan itu, beliau dan barisan Exco Pemuda Umno mengadakan sesi
dialog selama satu jam bersama Pengarah Urusan Kumpulan Media
Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub sebelum dibawa melihat operasi
percetakan majalah terbitan Karangkraf serta Sinar Harian.
Khairul Azwan berkata, Umno perlu menggunakan peluang yang masih ada untuk melakukan lebih banyak pembaharuan dalam parti itu.
Katanya, antara pembaharuan yang patut dilakukan ialah memberikan
lebih peluang kepada profesional muda untuk menjadi pemimpin sama ada di
peringkat kerajaan atau akar umbi parti.
Menurutnya, Umno dianggotai ramai profesional muda namun parti itu tidak meraikan penyertaan golongan itu sewajarnya.
“Ramai ahli Pemuda dan Puteri Umno adalah di kalangan profesional
muda, ada yang peguam, akauntan, jurutera, doktor. Tapi masalahnya
kepimpinan Umno tidak meraikan mereka.
“Kalau DAP, contohnya, mereka ada (calon PRK Teluk Intan pada 2014)
Dyana Sofya (Mohd Daud) seorang, tetapi pakej yang mereka raikan itu
seolah-olah semua peguam muda perempuan telah menyertai DAP. Saya sudah
sebut semasa Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, pimpinan Umno mesti
raikan profesional muda Melayu yang mempunyai kualiti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan