Isnin, 9 Mac 2015

Nik Nazmi cabar penahanan reman di Mahkamah Tinggi

OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA


Nik Nazmi ditahan semalaman di lokap balai polis Jinjang, sebelum polis menerima perintah reman daripada majistret pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider, 9 Mac, 2015.Nik Nazmi ditahan semalaman di lokap balai polis Jinjang, sebelum polis menerima perintah reman daripada majistret pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider. 



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi mencabar keputusan majistret membenarkan polis menahan beliau selama tiga hari lagi.

Peguamnya, Eric Paulsen berkata, permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini.

"Kami akan melakukan tindakan susulan memastikan semakan itu didengar sebelum reman itu tamat tempoh," katanya kepada The Malaysian Insider.


Polis menangkap Nik Nazmi semalam di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan dia ditahan semalaman di lokap balai polis Jinjang.

Pagi ini, pegawai penyiasat membawa Nik Nazmi di hadapan majistret yang membenarkan permohonan menahan reman exco Selangor yang juga ketua pemuda PKR itu bagi membantu siasatan. Beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi direkodkan kenyataan. Terdahulu hari ini, DAP mengutuk penahanan Nik Nazmi mengatakan ia tidak munasabah dan satu penyalahgunaan kuasa.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa menteri dalam negeri dan perdana menteri campur tangan memastikan Nik Nazmi dibebaskan serta-merta.

"Mengapa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak ditahan untuk siasatan kerana membuat ucapan hasutan menyeru orang Melayu memboikot usahawan Cina?

"Apa yang Ismail katakan menyebabkan perselisihan dan perpecahan; ia jauh lebih teruk daripada apa yang dikatakan dilakukan Nik Nazmi," kata Lim pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang turut hadir berkata, perintah lanjutan reman itu tidak perlu kerana polis boleh menyiasat Nik Nazmi tanpa menahannya.

"Seorang ahli majlis kerajaan negeri tidak sepatutnya ditahan reman selama tiga hari. Beliau tidak bahaya. Beliau hanya mengamalkan hak untuk berhimpun secara aman," kata Guan Eng.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Asrol Sani Abd Razak mengutuk polis kerana penahanan Nik Nazmi bertentangan Akta Perhimpunan Aman dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan untuk semua rakyat.

"Penahanan Nik Nazmi bercanggah prinsip demokrasi... tangkapannya sama sekali tidak perlu dan tidak logik.

"Tahanan reman ialah untuk membantu siasatan, bukan untuk menghukum. Nik Nazmi sukarela dan dengan penuh tanggungjawab bekerjasama dengan pihak polis," katanya, menggesa Putrajaya tidak menggunakan institusinya sebagai alat menghalalkan tindakan.

"Kami tidak diam dan akan terus berjuang menentang kezaliman dan ketidakadilan. Percayalah," katanya.

Tiada ulasan: