Isnin, 9 Mac 2015

Laporan interim MH370 tak masuk akal, kata Dr Mahathir

OLEH MOHD FARHAN DARWIS



Gambar fail pesawat Boeing penerbangan MH370 di ruang udara Poland. Pesawat itu masih hilang, setahun selepas hilang dari radar kawalan udara. – Gambar Reuters, 9 Mac, 2015.Gambar fail pesawat Boeing penerbangan MH370 di ruang udara Poland. Pesawat itu masih hilang, setahun selepas hilang dari radar kawalan udara. – Gambar Reuters.



Laporan interim kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dikeluarkan Ahad lepas "tidak masuk akal", kata Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaitkan insiden malang itu dengan wujudnya unsur "mainan teknologi".

Bekas perdana menteri yang berkhidmat selama 22 tahun itu berkata, mustahil pesawat penumpang seberat 230 tan itu berupaya hilang tanpa dapat dikesan, merujuk pesawat Boeing itu yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi pada 8 Mac tahun lepas.

"Amat pelik pesawat berat 230 tan boleh hilang sampai tidak boleh jumpa.


"Saya masih tidak boleh terima segala laporan kerana saya tidak tahu, dalam zaman komunikasi terbaik hari ini, kita tidak tahu mana hilang pesawat itu," katanya ketika ditemui di Putrajaya hari ini. "Saya khuatir ada permainan teknologi dalam perkara ini."

Pasukan bebas yang menyiasat insiden kehilangan pesawat MH370 mengeluarkan satu kenyataan interim pada Ahad, genap setahun selepas kehilangan misteri pesawat tersebut.

Pasukan itu, diketuai bekas ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Kok Soo Chon, mengeluarkan laporan tiga muka surat bertujuan mengelakkan berlaku kemalangan atau insiden serupa pada masa hadapan.

Kok berkata, pasukan penyiasat itu juga turut menemubual kira-kira 120 individu termasuk kakitangan MAS, DCA dan waris keluarga mangsa nahas dan menganalisis semua data dan maklumat yang dikumpul.

Laporan interim penuh dan fakta maklumat berhubung siasatan MH370 boleh diakses di laman web Kementerian Pengangkutan iaitu http://www.mot.gov.my.

Awal hari ini, akhbar The Guardian melaporkan, saudara-mara penumpang dan anak kapal MH370 mengkritik laporan interim itu.

Laporan itu berkata mereka hanya mendedahkan satu fakta baharu, iaitu bateri perakam data penerbangan (SSFDR), salah satu daripada 2 kotak hitam, peranti pengesan bawah air (ULB) bagi pesawat itu tamat tempoh kira-kira 14 bulan sebelum pesawat Boeing 777-200ER itu hilang tanpa dikesan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Tetapi mereka mempersoalkan kepentingan dapatan itu, memandangkan ULB itu mungkin tidak dapat dikesan pun pada kedalaman Lautan Hindi di mana pesawat itu dikatakan menjunam jatuh.
Sarah Bajc, yang kehilangan pasangannya Philip Wood di atas kapal terbang itu, mengkritik penyiasat kerana hanya menemuramah 120 orang.

Seorang lagi saudara yang enggan namanya disiarkan juga berkata, laporan itu "tidak berguna".
Intan Maizura Othman, yang suaminya pramugara Hazrin Hasnan terlibat dalam kejadian itu berkata, beliau tidak bercadang membaca laporan itu kerana ia tiada gunanya dalam usaha mencari kebenaran.

Tiada ulasan: