Sabtu, 7 Mac 2015

MAS Dalam Proses Menyediakan Bayaran Pampasan Penuh MH370


MSTAR ONLINE


 
 
 
KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) kini dalam proses menyediakan pembayaran pampasan penuh untuk anggota keluarga terdekat, para penumpang dan anak kapal MH370.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya, berikutan Pengisytiharan Kemalangan, syarikat penerbangan itu kini boleh membuat pembayaran pampasan penuh.

"Kami sedang melaksanakannya. Syarikat insurans bersama-sama dengan MAS, akan menghubungi anggota keluarga bagi membincangkan pampasan tersebut," katanya kepada Bernama.

Pada 29 Januari lepas, Kerajaan Malaysia mengisytiharkan, kehilangan pesawat MH370 sebagai satu kemalangan di bawah peraturan-peraturan penerbangan antarabangsa.

Sebaik sahaja perisytiharan itu, MAS telah memaklumkan kepada semua aggota keluarga terdekat mangsa mengenai pampasan tersebut.

Mereka boleh menghubungi MAS apabila sudah bersedia untuk meneruskan tuntutan pampasan atau jika mereka mempunyai sebarang pertanyaan.

"Bayaran ini bagi membolehkan keluarga yang terlibat menyambung semula kehidupan seperti biasa selepas kehilangan orang yang tersayang. Saya tahu ia adalah masa yang sukar untuk semua orang.

Kami akan membantu dengan cara yang sebaik mungkin, dengan apa yang munasabah dan kami akan buat yang terbaik," kata Ahmad Jauhari.

Menyediakan sokongan kebajikan untuk anggota keluarga terdekat mangsa-mangsa pesawat MH370 telah menjadi fokus utama MAS dan tindakan ini telah diambil sejak hari pertama, kehilangan pesawat itu.

"Kami percaya, kami telah menguruskan keadaan ini dengan sebaik mungkin", katanya.

"Dalam banyak keadaan, kita sebenarnya telah melampaui amalan terbaik industri antarabangsa," katanya, sambil menambah bahawa sokongan kebajikan MAS akan terus disampaikan walaupun selepas ulang tahun MH370 di Kuala Lumpur dan Beijing.

Pada 8 Mac tahun lepas, penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang dari skrin radar semasa terbang di Laut China Selatan kurang daripada satu jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12:41 tengah malam.

Pesawat Boeing 777-200ER itu dijadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.

MAS menyediakan kaunseling dan menubuhkan Pusat Bantuan Keluarga di sini dan Beijing bagi membolehkan syarikat itu berhubung rapat dengan kira-kira 1,000 anggota keluarga terdekat serta untuk menyediakan maklumat kemas kini dua kali sehari melalui e-mel, panggilan telefon dan taklimat setiap hari semasa saat-saat kritikal kehilangan MH370.


Tiada ulasan: