FREE MALAYSIA TODAY
Suntikan RM950 juta bercanggah dengan keputusan Kabinet
1MDB tidak layak untuk proses IPO sama sekali memandangkan jejak rekod syarikat itu amat meragukan dan mencurigakan.
PETALING
JAYA: Kenapa Kementerian Kewangan Malaysia memberi kemudahan pinjaman
RM950 juta lagi kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tanya Datuk
Seri Khairuddin Abu Hassan.
Pengkritik tegar 1MDB itu berkata bahawa langkah itu adalah
bercanggah sama sekali dengan keputusan kabinet untuk tidak membenarkan
lagi suntikan kewangan kepada syarikat bermasalah tersebut!
Khairuddin yang merupakan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan
berkata demikian dalam satu kenyataan kepada FMT hari ini, berikutan
pengumuman bahawa Kerajaan menyuntik sebanyak RM950 juta sebagai dana
tersedia bagi syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.
Semalam, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
berkata, dana itu bertujuan membantu 1MDB menyelesaikan masalah aliran
tunai secara sementara sebelum syarikat itu membuat tawaran awam
permulaan (IPO), September ini.
Khairuddin seterusnya menyarankan kepada Menteri Kewangan ll itu agar tidak bercakap mengenai IPO 1MDB lagi buat masa ini.
“Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ni Menteri kewangan jenis apa? Beliau sedang merepek pada masa kini.
“Suruh Husni Hanadzlah tanya Bursa Saham Malaysia serta Suruhanjaya
Sekuriti Malaysia, apakah asas utama untuk membolehkan sesebuah syarikat
itu disenaraikan di papan Bursa Saham dan menerbitkan IPO?” tambah
beliau.
Khairuddin menjelaskan, asasnya untuk IPO, sesebuah syarikat
hendaklah mempunyai kedudukan pendapatan kewangan yang kukuh secara
konsisten serta mempunyai jejak rekod perniagaan yang baik.
Sebaliknya, tambah beliau, 1MDB adalah sebuah syarikat yang amat
bermasalah, tenat serta banyak menimbulkan keraguan mengenai pentadbiran
ataupun perbelanjaan dana mahupun kewangannya.
“Apakah mereka layak untuk menjalani proses IPO?” tanya beliau lalu
menyatakan pendapatnya bahawa, 1MDB tidak layak untuk proses IPO sama
sekali memanadangkan ‘track record’ syarikat itu amat meragukan dan
mencurigakan.
“Mereka gagal untuk mempamerkan 1MDB sebagai sebuah syarikat yang ‘credible’ untuk IPO!” tegas beliau.
Khairuddin seterusnya meminta supaya, Presiden 1MDB yang juga
Pengarah Eksekutif Kumpulan syarikat milik kerajaan itu, Arul Kanda
Kandasamy supaya menjelaskan mengenai dana yang disebut oleh Ahmad Husni
itu.
“Jawablah, tidak kiralah apa saja terma pinjaman tersebut dari
Kementerian Kewangan! Pokoknya kini rakyat ingin mengetahui di mana
letaknya kesemua wang pelaburan berbillion ringgit di serata dunia itu
berada?” tambah beliau.
Menurut Khairuddin, jika 1MDB benar-benar memiliki banyak wang
seperti yang dikatakan, “kenapa tidak dibawa pulang wang yang ditebus
dari Cayman Island yang kononnya sedang berada di luar negara serta di
Singapura untuk tujuan membayar hutang-hutang mereka?
“Kenapa harus bergantung kepada suntikan pinjaman dari Kementerian Kewangan?,” tanya beliau lagi.
Dari prinsipnya, tegas beliau, Kementerian Kewangan telah melakukan
satu kesalahan yang bercanggah arahan serta keputusan kabinet Malaysia
sedangkan setiap hari umum melihat kesilapan demi kesilapan dilakukan
oleh Kementerian Kewangan untuk menangani isu 1MDB.
Beliau turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), supaya “buka mata
seluas-luasnya” untuk memerhati keadaan sebenar 1MDB yang begitu tenat.
Sedangkan tambah beliau, pada masa sama Presiden 1MDB masih mampu
untuk membohongi rakyat bahawa syarikat tersebut masih stabil dan berada
dalam kedudukan masih kukuh!
“Selama bilakah Arul Kanda mahu memperbodohkan serta menipu rakyat jelata?” tanya beliau lagi.
Khairuddin juga mengakui tertarik dengan SPRM yang telah memanggil
beberapa individu dari Felda Global ventures (FGV) untuk disoal siasat!
Sehubungan kes FGV itu, beliau mempersoalkan jika Ketua Pesuruhjaya
SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed kenapa SPRM boleh bertindak tanpa
siasatan Ketua Audit Negara dan PAC terlebih dahulu?
“Kenapa dalam kes 1MDB Abu Kassim kata kena tunggu Jabatan Audit
Negara dan PAC bertindak barulah SPRM akan mulakan siasatan?,” tambah
beliau sambil berkata bahawa seseluruhan rakyat amat meragui sikap dan
prinsip Abu Kassim yang pada hemat beliau, bersifat double standard.
Khairuddin menyatakan hasratnya menulis memorandum untuk membuat
aduan kepada Yang diPertuan Agong mengenai sikap serta kenyataan Abu
Kassim dalam isu berkenaan dalam masa yang terdekat.
1 ulasan:
jika benar kenyataan ini.......kita rakyat ada kuasa........gunakan dgn sebaiknya...........jika kenyataan itu sebaliknya........ia amat mengecewakan..........fitnah namanya.............jika ter membuat fitnah..........wajib segra bertaubat......ALLAH maha pemurah lagi maha mengasihani.Jgn. kerana dunia kita menghalalkan cara.......biarkanlah mereka..... kita doakan yg. terbaik utk. mereka
Catat Ulasan