FMT Reporters
Jabatan Audit Negara perlu melakukan
pengauditan menyeluruh terhadap tatacara perolehan ATM dan ketiga-tiga
cabang perkhidmatannya.
KUALA
LUMPUR: Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) tidak menggunakan alasan maklumat sensitif dan keselamatan negara
untuk mengelak audit dan pertanyaan pemeriksaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu,
alasan tersebut akan menutup penyelewengan yang berlaku sedangkan ia
membabitkan wang rakyat.
Katanya, masalah alasan rahsia dan sensitiviti keselamatan telah
menghalang PAC melakukan pemeriksaan ke atas Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) berhubung pembelian helikopter Eurocopter beberapa tahun
lalu.
“ATM perlu lebih telus dalam soal perolehan aset dan kelengkapan perkhidmatannya kerana ia menggunakan wang rakyat,” katanya.
Beliau menambah, “…dan tidak elok memberikan alasan tidak boleh
mendedahkan tatacara perolehan atas sebab rahsia dan sensitif kerana
dikhuatiri mengancam keselamatan negara sedangkan berlaku unsur
penyelewengan dan rasuah di kalangan anggota dan pegawainya.”
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas penahanan beberapa
pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) baru-baru ini
oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi
khas.
Sehubungan itu tegas Nur Jazlan, Jabatan Audit Negara (JAN) perlu
melakukan pengauditan menyeluruh terhadap tatacara perolehan ATM dan
ketiga-tiga cabang perkhidmatannya bagi mengelak berlaku unsur salah
guna kuasa, ketirisan, penyelewengan dan rasuah.
“JAN perlu melakukan pengauditan terhadap tatacara dan prosedur
perolehan ATM dan ketiga-tiga cabang perkhidmatannya bagi memastikan
imej pihak berkuasa keselamatan ini sentiasa dihormati rakyat.
“Penahanan beberapa pegawai dan anggota TLDM oleh SPRM yang didakwa
berlaku rasuah membabitkan perolehan pasukan keselamatan berkenaan
adalah sesuatu yang mengejutkan memandangkan ia dilaporkan sudah berlaku
sejak beberapa tahun lamanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi SPRM itu membuktikan berlaku kelemahan dalam
tatacara perolehan ATM dan pengauditan segera secara menyeluruh amat
kritikal dalam menentukan penambahbaikan yang boleh diambil bagi
mencegah perkara berkenaan berulang.
Katanya, beliau akan menulis surat kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri
Ambrin Buang tidak lama lagi supaya jabatan berkenaan dapat
melaksanakan audit segera secara menyeluruh terhadap tatacara perolehan
ATM dan ketiga-tiga cabang perkhidmatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan