KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menyangkal dakwaan
berlaku gangguan air selama 36 jam di seluruh Selangor seperti yang
tersebar menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam,
Priscilla Alfred, berkata pemantauan SYABAS mendapati ada pihak tidak
bertanggungjawab cuba menyebarkan maklumat palsu dengan niat menimbulkan
panik dalam kalangan pengguna.
"Maklumat yang tersebar itu tidak benar kerana gangguan selama 36 jam
yang berlaku adalah merujuk kerja kecemasan membabitkan pembaikan paip
pecah di jajaran paip utama bersaiz 1200 milimeter dari Loji Semenyih ke
Bandar Bukit Mahkota, Sepang.
"Kerja kecemasan ini hanya membabitkan gangguan bekalan air di
sebahagian kawasan di Daerah Hulu Langat dan Sepang saja," katanya dalam
satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kerja kecemasan itu sudah disiapkan sepenuhnya dan bekalan air sudah disambung semula kepada pengguna.
SYABAS juga menjangkakan bekalan air di semua kawasan terbabit akan
pulih sepenuhnya menjelang jam 8 pagi esok seperti yang dinyatakan dalam
kenyataan menerusi media Selasa lalu.
"SYABAS menyeru pengguna tidak membuat spekulasi atau sengaja mencipta
berita palsu yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan orang awam
khususnya pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
Putrajaya," katanya.
Pengguna disaran melayari laman sesawang SYABAS iaitu www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini.
No comments:
Post a Comment