Tuesday, January 20, 2015

Sesama UMNO saling menyerang, beri kelebihan pada pembangkang

 
Perbezaan pendapat yang diluahkan secara terbuka akan dieksploitasi oleh pihak pembangkang untuk menyerang UMNO


syed-ali


PETALING JAYA: Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee melahirkan rasa kecewanya terhadap pemimpin parti UMNO yang bertindak menyerang pentadbiran atasan menerusi media sosial.

“Sejak akhir-akhir ini sesama orang UMNO menggunakan laman-laman sosial untuk menyerang antara satu sama lain, ini perkembangan tidak baik dan merugikan parti,” katanya menerusi entri terbarunya.

Beliau berkata, perbezaan pendapat yang diluahkan secara terbuka itu akan dieksploitasi oleh pihak pembangkang untuk menyerang UMNO dan sekali gus boleh mempengaruhi fikiran rakyat.

“Apabila timbul kata-mengata atau sangkaan kurang baik terhadap sesama pemimpin UMNO, sudah pasti akan memberi kesan negatif kepada masyarakat umum serta boleh membawa kepada perpecahan dalam parti.

“Inilah yang ditunggu-tunggu oleh pihak pembangkang dan kumpulan anti-kerajaan yang sedang bertungkus-lumus untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” tegasnya.

Katanya, perkembangan politik mutakhir yang menyaksikan tindakan sesama ahli parti yang dilihat begitu ghairah membongkar kesalahan dan kesilapan sesama pemimpin UMNO termasuk bekas pemimpin.

Beliau menegaskan agar pemimpin UMNO termasuk ketiga-tiga sayap parti bersatu tenaga dan buah fikiran untuk menepis serangan dakyah serta provokasi yang giat dilakukan pembangkang.

Pada masa sama, Syed Ali turut melahirkan rasa terkilan terhadap sesetengah pemimpin UMNO yang dilihat hanya berpeluk tubuh ketika Najib diserang hebat oleh pembangkang.

Katanya, akibat daripada sikap berdiam diri pemimpin UMNO telah memberi peluang kepada pembangkang menyebarkan tanggapan negatif kononnya ada pihak dalam parti yang tidak menyokong kepimpinan Najib.

Sehubungan itu tegas beliau, pemimpin UMNO di semua peringkat sewajarnya bingkas mempertahankan parti dan kepimpinan Najib selaku presiden parti.

No comments: