Granny Smith
KOTA BHARU - Pengimport epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran
Syarikat Bidart Brothers dari Bakersfield, California, Amerika Syarikat
sedang menarik balik kesemua buah-buahan itu daripada pasaran tempatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, rakyat
tidak perlu bimbang membeli epal jenis lain yang dijual di pasaran
negara ini, selepas dakwaan terdapat bakteria jenis 'Listeria
Monocytegenes' pada kedua-dua jenis epal tersebut.
"Syarikat berkenaan sedang menguruskan proses mengambil semula
kedua-dua jenis epal itu di seluruh negara dan jika terdapat peniaga
masih menjualnya, (orang ramai) boleh membuat laporan kepada kami,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah dan
Organ Perdana Pasca Banjir di Politeknik Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani sedang giat menjalankan operasi
pemantauan di seluruh negara berhubung perkara berkenaan.
Semalam, Kementerian Kesihatan menyita 19,960 biji epal jenis Gala dan
Granny Smith yang diimport dari Amerika Syarikat bernilai RM82,000 dalam
pemeriksaan di Kuching dan Sibu, Sarawak selepas dikhuatiri dicemari
bakteria yang boleh menyebabkan kematian.
Antara tanda awal gejala serangan penyakit bawaan makanan itu ialah
sakit kepala, muntah, demam serta kekejangan pada leher dan orang ramai
dinasihatkan tidak panik kerana hanya dua jenis epal tersebut disahkan
tercemar manakala epal lain masih selamat dimakan.
Dalam perkembangan lain, Hilmi berkata, kesedaran rakyat Malaysia untuk
mendaftar sebagai penderma organ masih rendah berbanding keperluan
semasa yang jauh lebih tinggi.
"Sejak diperkenalkan pada 1975, kita hanya mampu mengumpulkan sejumlah
500 penderma sedangkan terdapat 18,322 penerima organ yang sedang dalam
senarai menunggu," katanya.
Beliau berkata, kesedaran yang masih rendah itu disebabkan persepsi dan
pandangan orang ramai yang belum jelas berhubung pendermaan organ.
Sementara itu, beliau berkata, sehingga 11 Januari lepas, Pusat Darah
Negara menghantar 430 unit darah merah dan lapan platelet 'apheresis' ke
Kelantan, 250 unit darah merah dan 60 platelet jenis sama ke
Terengganu, manakala 200 unit darah merah ke Pahang.
"Kita memerlukan antara 1,800 dan 2,000 penderma darah sehari bagi memenuhi keperluan pesakit seluruh negara," katanya.
Program yang diadakan selama tiga hari di Politeknik Kota Bharu itu
dijangka mengumpul kira-kira 1,500 unit darah dengan pembabitan penuntut
institusi berkenaan selain beberapa kolej komuniti lain di Kelantan. -
Bernama
No comments:
Post a Comment