Thursday, January 22, 2015

Pemuda PKR persoal kehilangan RM212 juta dana PLKN

THE MALAYSIAN INSIDER


Putrajaya mengumumkan penangguhan Program Latihan Khidmat Negara‎ bagi sesi 2015 sebagai langkah penjimatan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi. – Gambar Wikipedia, 22 Januari, 2015.Putrajaya mengumumkan penangguhan Program Latihan Khidmat Negara‎ bagi sesi 2015 sebagai langkah penjimatan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi. – Gambar Wikipedia



Pemuda PKR hari ini mempersoalkan kehilangan dana peruntukan Program Latihan Khidmat Negara‎ (PLKN) sebanyak RM212 juta yang didakwa tidak selari dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Strateginya Pemuda PKR Akmal Nasir berkata, berdasarkan anggaran perbelanjaan PLKN dalam Bajet 2015 yang dibentangkan tahun lepas adalah sebanyak RM612,684,400.

"Ini menimbulkan persoal terhadap perbezaan anggaran perbelanjaan iaitu sebanyak RM212,684,400 berbanding jumlah penjimatan sebanyak RM400 juta yang diumumkan perdana menteri akibat penangguhan PLKN tahun 2015.


"Sebagai perbandingan, anggaran perbelanjaan PLKN bagi 2015 tidak jauh berbeza dengan 2014 iaitu RM667,808,800," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Justeru, Pemuda PKR mendesak Putrajaya menjawab kekeliruan yang wujud kerana masih menanggung perbelanjaan RM212 juta untuk 2015 walaupun program PLKN  ditangguhkan.

"Adakah syarikat-syarikat yang menerima kontrak perkhidmatan PLKN bagi 2015 masih menerima bayaran penuh atau sebarang pampasan akibat penangguhan PLKN?

"Dan jika ya, syarikat manakah yang masih menerima bayaran atau pampasan itu?" soalnya.

Akmal berkata, jika kerajaan Barisan Nasional (BN) benar-benar jujur ingin mengurangkan perbelanjaan melalui penangguhan PLKN 2015, kerajaan sepatutnya membuat penjimatan sebanyak RM612 juta, bukan sekadar 65% daripada anggaran perbelanjaan asal iaitu hanya RM400 juta.

Putrajaya pada Isnin mengumumkan penangguhan PLKN  bagi sesi 2015 sebagai langkah penjimatan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi disebabkan kejatuhan harga minyak dan nilai ringgit baru-baru ini.

Perdana menteri semasa mengumumkan semakan Bajet 2015 berkata, langkah tersebut akan dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM400 juta.

"Dengan ini saya mengumumkan penangguhan program PLKN sebanyak RM400 juta, ia bagi membolehkan program tersebut dikaji dan disemak semula," kata Najib.

Langkah tersebut diumumkan memandangkan kerajaan dijangka kekurangan hasil sebanyak RM13.8 bilion dengan mengambilkira kejatuhan harga minyak dunia pada $55 setong.

Walaupun subsidi bahan api menjimatkan kerajaan sebanyak RM10.7 bilion, Najib berkata kerajaan masih mengalami kekurangan hasil sebanyak RM8.3 bilion bagi menampung Bajet 2015.

PLKN yang mula dilaksana pada 2004 merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di pusat latihan seluruh Malaysia bagi sesetengah daripada mereka yang terpilih apabila menamatkan pendidikan sekolah menengah di Malaysia atau berumur 17 tahun ke atas.

No comments: