Friday, January 23, 2015

Imigresen buka semula kaunter PLKS

MALAYSIAKINI


 


Jabatan Imigresen memutuskan untuk membuka semula kaunter di pejabat mereka bermula hari ini sehingga 28 Februari depan bagi memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Ketua pengarah jabatan itu, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, perkhidmatan dalam talian untuk proses tersebut secara dalam talian bagaimanapun tetap diteruskan.

Langkah itu dibuat susulan rungutan orang ramai terhadap sistem pembaharuan dalam talian PLKS yang diusahakan syarikat MyEG Services Bhd sebelum ini.

"Kita memutuskan yang kaunter PLKS akan dibuka semula sementara perkhidmatan online diteruskan," kata Mustafa dalam satu sidang media hari ini.

Majikan bagaimanapun perlu hadir sendiri ke kaunter untuk urusan pengecaman biometrik menggunakan cap jari.

Mustafa berkata, majikan tidak dibenar menggunakan orang tengah atau agen bagi mengelakkan ditipu oleh orang tengah atau agen itu, kata Mustafa.

Menurutnya lagi, langkah itu juga dibuat dalam tempoh proof of concept (POC) sistem dalam talian oleh MyEG.

"Selepas tamat tempoh POC sepenuhnya pada 28 Februari 2015 perkhidmatan PLKS online akan dilaksanakan sepenuhnya," kata Mustafa.

Ditanya tentang yuran pemprosesan sebanyak RM38 yang dirungutkan orang ramai, Mustafa berkata yuran itu ditetapkan oleh kerajaan yang merasakan ia berpatutan.

"Fi ini ditetapkan kerajaan dan kerajaan anggap fi ini berpatutan," katanya.

Menurut Mustafa, yuran itu meliputi perkhidmatan pengambilan dan penyerahan dokumen oleh pihak MyEG sehingga ke muka pintu.

Sehubungan itu, perkhidmatan untuk memperbaharui pasport pada hujung minggu di pejabat imigresen juga diberhentikan serta merta.

Namun, proses pembaharuan pasport masih boleh dilakukan di pejabat KDN yang lain, katanya.

No comments: