Nurul Hidayah menunjukkan udang galah hasil tangannya yang diperbuat daripada kertas surat khabar terpakai yang kini dipamerkan di pejabat PPSPPA Rompin. Nurul Hidayah menunjukkan udang galah hasil tangannya yang diperbuat daripada kertas surat khabar terpakai yang kini dipamerkan di pejabat PPSPPA Rompin.
 
 
ROMPIN - Walaupun terdapat kekurangan dan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) lembam, namun kegigihannya mempelajari kemahiran kraf tangan selain mempunyai daya kreatif yang tinggi telah membuahkan kejayaan.

Penduduk Kampung Tebu Hitam, Nurul Hidayah Rohman, 28, berkata, produk kraf tangan yang dihasilkannya adalah berasaskan kertas dan kebanyakannya adalah diperbuat daripada surat khabar terpakai.

Katanya, dia memang mempunyai kemahiran tersebut sejak dari bangku sekolah dan mempelajarinya dengan lebih mendalam melalui seorang jiran yang mengakui bahawa kraftangan buatannya sangat kemas.

“Saya memilih untuk membuat produk kraf tangan daripada kertas surat khabar terpakai dan turut melibatkan bahan-bahan lain kerana saya berasa kemahiran ini sangat praktikal dengan keadaan saya.

“Selain membuat udang galah menggunakan kertas surat khabar terpakai, saya juga pernah membuat helikopter menggunakan bahan tersebut. Ada kala saya buat dan  jual terus, malah ada kala saya buat berdasarkan tempahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, jabatan dan agensi kerajaan sekitar Kuala Rompin juga banyak membuat tempahan dengannya dan dia mengenakan bayaran berdasarkan kos serta aspek lain.

Nurul Hidayah yang pernah menjadi juara Pertandingan Rekaan Kraf tangan Barang Terpakai anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Rompin sempena Karnival Sekolah Kebangsaan Pontian akhir tahun lalu juga bercadang untuk menghantar udang galah kraf tangan buatannya ke rumah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pekan.

“Setakat ini pelanggan saya terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan serta individu tertentu yang juga membuat tempahan untuk majlis kahwin.

"Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain juga pernah beli udang galah kraf tangan yang saya buat,” katanya.