MALAYSIAKINI
Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya
terbabas ke dalam gaung di Jalan Pokok Cheri, Bukit Bendera di George
Town malam tadi.
Cheng Seng Lee, 75, ditemui mati dalam gaung berkedalaman 25 meter itu
oleh pasukan mencari dan menyelamat pada 10.24 malam berhampiran stesen
nombor dua Bukit Bendera.
Penolong Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Peyelamat Pulau Pinang V
Sasikala berkata pihaknya terpaksa berjalan kaki selama 45 minit untuk
mendaki bukit itu dan mayat mangsa dapat dibawa turun ke kaki bukit pada
jam 11.15 malam.
"Mangsa dipercayai terjatuh bersama motosikalnya ketika menuruni bukit.
Kami dapati laluan ke bukit agak curam dan sempit selain permukaan yang
licin selepas hujan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat
kejadian.
Beliau berkata 10 anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat
kejadian selepas menerima laporan kehilangan warga emas itu pada jam 8
malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash
Wahid berkata mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak keluar ke
kebun miliknya yang terletak di kawasan bukit itu, 3 petang semalam.
"Mangsa berseorangan ke kebun itu dan pemeriksaan awal mendapati dia
mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai akibat terhentak dan
motosikalnya turut menghempap badannya," katanya dalam kenyataan hari
ini.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta
Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang
untuk bedah siasat.
- Bernama
No comments:
Post a Comment