Tuesday, December 30, 2014

QZ8501: Kawasan mencari diperluas hari ini

MALAYSIAKINI


 


Misteri kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 masih belum terungkai dengan tiada sebarang petunjuk diperoleh pasukan pencari yang akan memperluaskan kawasan pencarian
hari ini.
  
Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Trikora Harjo berkata operasi mencari diketuai Indonesia bersama-sama Singapura dan Malaysia di timur Lautan Jawa termasuk berhampiran Pulau Belitung, dihentikan pada lewat Isnin malam.
  
"Sehingga kini, saya dimaklumkan, 24 kapal laut dan beberapa pesawat udara tentera milik tiga negara ini telah menyertai misi mencari ini," katanya  kepada pemberita pada lewat malam tadi.

Beliau berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat atau petunjuk ditemui selain turut menafikan ada minyak, objek mahu pun Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT) diperoleh dan ditemui pasukan pencari.
  
Sementara itu, Presiden Direktur PT AirAsia Indonesia, Sunu Widiatmoko yang turut menghadiri sidang akhbar itu berkata kemudahan bagi waris pesawat itu di lapangan terbang akan ditambah untuk keselesaan mereka ketika menunggu perkembangan terkini.
  
"Ini termasuk televisyen dan kemudahan istirehat supaya keluarga korban (mangsa) lebih selesa di sini.
  
"Mereka juga bersetuju sebulat suara untuk terus menetap di hotel-hotel berdekatan lapangan terbang untuk kemudahan mereka," katanya.
  
Sementara itu, tinjauan Bernama di Pusat Krisis Terminal 2 lapangan terbang mendapati pelbagai emosi dapat dilihat daripada riak wajah anggota keluarga dan waris pesawat malang itu.
  
Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Solo berkata keluarganya tidak mahu berpindah atau berjauhan dari lapangan terbang ini kerana seolah-olah berasa dekat dengan anggota keluarganya yang hilang itu.
  
Menurutnya, inilah lokasi terakhir mereka meluangkan masa bersama-sama sebelum anggota terbabit menaiki pesawat tersebut.
  
Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang di dalamnya terdiri daripada 149 penumpang Indonesia, Korea Selatan (3), Singapura (1), Malaysia (1), United Kingdom (1), dan kru Indonesia (6) serta Perancis (1), yang dijadual tiba pada jam 8.30 pagi waktu tempatan dari Surabaya, terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta pada 7.24 pagi waktu tempatan pada Ahad.- Bernama

No comments: