shahbudindotcom
Sebagaimana
kita ditimpa malang kerana musibah banjir, kehilangan pesawat MH370 dan
MH17, memiliki menteri-menteri yang terpaksa diarahkan pulang bak "itik
lupa pulang ke sarang" adalah juga suatu musibah malang.
Ia
malang kerana realitinya kita mempunyai ramai pemimpin yang tidak
sensitif terhadap rakyat dan lebih malang lagi mereka ini sebenarnya
tidaklah sangat mengutamakan rakyat sebagaimana yang sering
dilaung-laungkan di depan mikrofon, di hadapan kamera tv atau ketika
bersama penyokong.
Ia
secara langsung juga menggambarkan menteri-menteri yang sedang bercuti
ini tidak memahami kedudukan mereka sebagai anggota pentadbiran adalah
untuk berkhidmat kepada rakyat dan mendahulukan rakyat dalam semua
perkara.
Seharusnya
apabila telah mengetahui Najib sendiri sudah mengambil keputusan
memendekkan percutiannya di Hawaii, semua menteri yang sedang bercuti
ini lebih dahulu kembali ke tanahair dan memendekkan cuti masing-masing.
Malangnya,
sama ada setelah mengetahui Najib sudah membuat keputusan memendekkan
cutinya dan sesudah sekian lama Perdana Menteri berada di dalam negara
melawat mangsa-mangsa banjir, masih tidak terlihat kelibat
menteri-menteri ini yang dilaporkan sedang bercuti di London, Australia,
New Zealand, Dubai dan China, turut mahu pulang.
Agaknya
ketika rakyat sedang sengsara dan Najib sedang bersiap-siap untuk
pulang atau ketika melawat mangsa banjir, menteri-menteri ini masih
riang ketawa bersama keluarga dan rakan-rakan sama ada sambil
membeli-belah atau menikmati hidangan yang mewah-mewah.
Setelah
dua hari berada di dalam negara, mungkin setelah menyedari hanya
segelintir daripada mereka ada dalam negara, Najib akhirnya terpaksa
mengeluarkan arahan agar mereka segera kembali dan memendekkan cuti
masing-masing.
Tindakan
mengarahkan mereka ini pulang pastinya memberi imej buruk kepada nilai
kepimpinan yang ada dalam diri menteri-menteri terbabit. Seolah-olah
mereka tidak boleh berfikir dan menilai sendiri keutamaan sebagai
pemimpin.
Di
kalangan yang sedang bercuti ini, di mana sebahagian gambar-gambarnya
sudah bersepah di media sosial, sama ada menteri terbabit, anak-anak
atau rakan mereka memuat-naiknya dalam FB, Twitter atau Instagram,
adalah merupakan menteri-menteri kanan serta yang "perasan" mereka
adalah bakal Perdana Menteri di masa depan.
Di
kalangan tiga menteri kanan yang berjawatan Naib Presiden UMNO iaitu
Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Hishammudin yang kini sedang berebut
untuk saling mendahului menghuni Seri Perdana atau Seri Satria, semuanya
hilang, senyap dan sunyi tanpa sebarang berita.
Begitu
juga dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dianggap oleh
sesetengah pihak sebagai pelapis kedua calon bakal Perdana Menteri,
turut hilang tanpa khabar berita sehingga poster kehilangannya turut
bertaburan di media-media sosial.
Sebahagian
menteri-menteri lain juga begitu, yang tinggal dalam negara ketika ini
hanya beberapa kerat saja. Asyik-asyik muka menteri yang sama saja
sedang bertungkus-lumus dengan mangsa banjir di pelbagai negeri ketika
ini.
Dalam
masa yang sama, Najib sendiri sedang merudum prestasinya dan di
pertikai di mana-mana. Dengan pelbagai masalah dalam negara yang tidak
berkesudahan, Najib kini berhadapan cabaran getir untuk mempertahankan
kuasa UMNO dan BN berbekalkan hanya 47 peratus undi popular saja.
Dengan
musibah banjir melanda yang sekaligus memperlihatkan ramai
menteri-menteri sedia ada seperti "tak reti bahasa" dalam sama-sama
membantu menaikkan imej kerajaan dan BN, Najib kini tiada pilihan lain
selain mengeluarkan sekurang-kurangnya separuh daripada menteri yang ada
daripada kabinetnya jika ingin terus berkuasa.
Dalam
keadaan sekarang, sudahlah Najib sendiri dalam kedudukan "parah"dan
hampir "kehilangan nyawa", sebahagian menteri-menteri ini pula tidak
membantu di saat kehadiran mereka benar-benar diperlukan.
Mereka tidak sanggup atau masih keberatan untuk berkorban, walaupun sebagai pemimpin dan sepatutnya lebih "berakal"
berbanding rakyat kebanyakan, membuat sesuatu keputusan bukanlah sukar bagi mereka.
Bersama
dengan ramai menteri yang sudah menjadi kecaman ramai sebelum ini dan
dianggap tidak layak mengemudi negara, musibah banjir besar ini
menyerlahkan lagi sebahagian daripada mereka.
Hanya
dengan membuang sekurang-kurangnya separuh daripada menteri yang ada
dan menggantikannya dengan muka-muka baru yang lebih diyakini, barulah
mungkin terserlah sedikit sinar untuk Najib, UMNO dan BN terus
mengekalkan kuasanya.
Jika tidak dan masih enggan membuang mereka, bersedialah untuk "gulung tikar" bersama menteri-menteri yang tak berguna itu.
No comments:
Post a Comment