KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPKTMB) menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggunakan Seksyen 106 sebagai ugutan dan 'bullet' untuk menekan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Presidennya, Abdul Razak Md Hassan mempersoalkan tindakan SPAD menggunakan akta tersebut adakah kerana berdendam dengan KTMB.
"Apakah mungkin SPAD berdendam dengan KTMB? Siapakan gerangan individu berkenaan? Ini andaian kita mengenai penutupan operasi Gua Musang ke Gemas kerana tindakan SPAD adalah meragukan.
"Persoalannya yang menjadi tanda tanya KPKTMB ialah dari mana laporan teknikal yang pihak SPAD dapat, adakah laporan teknikal berdasarkan kajian SPAD melalui pelantikan jurutera seperti termaktub dalam seksyen 106," soal beliau ketika dihubungi.
Tambahnya lagi, apakah SPAD mengunakan lapuran teknikal KTMB dalam menuntut suntikan kewangan atau mohon bajet sebanyak RM400 juta kepada kerajaan untuk membaikpulih landasan sebagai satu rumusan serta kajian SPAD dan lalu membuat keputusan menutup laluan operasi tersebut.
"Sekiranya benar perkara ini, di manakah profesionalisma SPAD dalam membuat kajian ini sehingga mengambil kesempatan 'menangguk di air keruh' dengan mengunakan seksyen 106.
"Tindakan sedemikian merupakan satu tindakan tidak profesional yang menjuruskan kegagalan SPAD sebagai regulator," sambung beliau lagi.
Abdul Razak yang mengulangi, pihak kesatuan ingin mengetahui siapakah jurutera SPAD atau jurutera yang dilantik oleh SPAD dalam membuat kajian serta memutuskan dan menandatangani lapuran kajian sehingga memutuskan penutupan laluan operasi itu selaras dengan peruntukan seksyen 106.
"Pihak kesatuan sebagai organisasi Kesatuan Sekerja yang didaftarkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja yang menyuarakan bantahan bagi mewakili Pekerja KTMB dan seluruh rakyat Pantai Timur khususnya penumpang keretapi akan menulis surat rasmi kepada SPAD memohon laporan kajian tersebut.
"Pihak kesatuan juga akan menyiasat apakah lapuran yang dibuat oleh SPAD itu kajian dari seorang jurutera yang dilantik oleh SPAD atau hanya berpandukan laporan teknikal KTMB dalam menuntut bajet dari kerajaan bagi tujuan membaikpulih landasan Gua Musang ke Gemas.
"Tindakan SPAD menutup operasi ini sesungguhnya adalah sangat meragukan," katanya.
No comments:
Post a Comment