Friday, June 6, 2014

Pembantu rumah hamba seks: Wanita DAP puji tindakan pantas polis, gesa segerakan siasatan

Chong eng


Roketkini.com


GEORGE  TOWN: Wanita DAP menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempercepatkan siasatan kes sindiket yang menjadikan pembantu rumah sebagai hamba seks.

Ketua Wanita DAP Chong Eng dalam kenyataannya hari ini memuji tindakan segera polis setelah mendapat laporan daripada seorang pembantu rumah warga Indonesia.

“Saya memuji tindakan segera polis sejurus selepas menerima laporan 13 Mei lalu. Saya juga meminta polis mempercepatkan siasatan kes ini,” kata Chong Eng.

Akhbar The Star semalam melaporkan tentang penangkapan seorang agen pembantu rumah warga asing berikutan laporan polis oleh pembantu rumah berusia 33 tahun itu pada 31 Mei lalu berhubung kehilangan mayat anaknya yang berusia tujuh bulan.

Mayat bayi yang lahir selepas wanita berkenaan dirogol majikannya itu ditemui dalam sebuah gaung berdekatan Genting Highlands semalam.

“Ini adalah antara banyak jenayah yang mensasarkan wanita, sama juga seperti kes rogol dua remaja oleh 38 lelaki sebelum ini,” ujar Chong Eng, merujuk insiden yang berlaku di Kuala Krai, Kelantan 20 Mei lalu.

Laporan The Star berkenaan turut mendedahkan bahawa sindiket terbabit memaksa pembantu rumah itu untuk bekerja tanpa gaji serta dicabul majikan mereka.

Polis setakat ini telah menyerbu empat buah rumah di Kota Kemuning, Shah Alam, dan menahan 12 wanita Indonesia yang tidak memiliki permit pekerjaan serta isteri kepada agen itu untuk membantu siasatan.

Sehubungan itu, Chong Eng yang juga Exco kerajaan Pulau Pinang mendesak polis memperketatkan penguatkuasaan bagi menumbangkan sindiket jenayah seperti ini, seterusnya memberikan jaminan keselamatan kepada semua warganegara dan juga warga asing yang tinggal di Malaysia.

“Penguatkuasaan perlu diperketat agar lebih banyak sindiket seperti ini ditumbangkan demi membela hak mereka yang tertindas dan agar mereka mendapat keadilan.

Polis bukan sahaja bertanggungjawab menangkap penjenayah, namun lebih penting memastikan persekitaran yang melahirkan penjenayah itu sendiri tidak wujud. Polis perlu menjamin keselamatan rakyat – di dalam mahu pun di luar rumah,” katanya lagi.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa memberikan lebih perhatian terhadap kes yang melibatkan keganasan terhadap wanita yang menjadi isu paling kritikal di Malaysia, seperti rogol, pemerdagangan seks dan penculikan kanak-kanak.

“Menteri Wanita Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Datin Seri Rosmah Mansor dilaporkan sedang menghadiri Sidang Kemuncak Global Wanita 2014 di Paris yang memberi penekanan terhadap pembangunan usahawan wanita bagi pembangunan di Malaysia.

“Selain membentuk persekitaran kondusif bagi perniagaan, kerajaan perlu terlebih dahulu memastikan rakyat negara ini seluruhnya mendapat persekitaran selamat bagi keluarga mereka,” katanya lagi. -Roketkini.com

No comments: