MALAYSIAKINI
Keputusan analisis makmal Jabatan Kimia terhadap dua produk
coklat keluaran Cadbury - Roast Almond dan Hazelnut (badam dan kacang
hazel) - mengesahkan tiada Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi, masih
belum meredakan orang ramai daripada memperkatakan isu halal coklat
berkenaan.
Bahkan beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan membuat laporan polis
berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil
Khir Baharom pada Isnin berhubung status coklat berkenaan, kerana
dianggap mengelirukan umat Islam.
Percanggahan keputusan ujian Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Jabatan Kimia terhadap dua coklat
berkenaan telah mewujudkan bermacam andaian dan persoalan.
Pelbagai tohmahan dan cemuhan dilemparkan kepada JAKIM. Di laman-laman
sosial, ada yang menuduh JAKIM kononnya tidak telus, sanggup menipu,
makan rasuah dan menyorokkan fakta sebenar, di samping mempertikaikan
keputusan analisis Jabatan Kimia, yang dikatakan hanya menimbulkan
was-was umat Islam.
Serangan terhadap JAKIM
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha berkata serangan bertali
arus terhadap JAKIM itu tidak adil memandangkan Jakim telah menjalankan
tugas yang diamanahkan sehabis baik.
Katanya masyarakat perlu bertenang dan berfikir secara waras kerana
sebagai badan Islam, tidak mungkin Jakim mengkhianati kepercayaan yang
diberi.
"Sama seperti anda, saya juga orang Islam, malah pegawai saya juga
beragama Islam dan kami ada keluarga yang juga pengguna Islam...
takkanlah kami tergamak melihat dan membiarkan keluarga kami dan orang
Islam lain untuk memakan produk yang kandungannya mempunyai babi.
"Malah, ramai pekerja di syarikat besar milik antarabangsa ini terdiri
daripada orang Islam... takkan mereka hendak lepaskan sesuatu yang tidak
halal untuk dimakan kepada masyarakat dan keluarga mereka," katanya
dalam wawancara di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Othman berkata setiap produk yang memperoleh logo halal disaring
menepati prosedur operasi standard (SOP) serta piawaian yang begitu
tinggi dan ketat.
"Bukan mudah untuk kami keluarkan sijil halal dan sebab itu kami selalu
menerima aduan bahawa JAKIM lambat meluluskan permohonan kerana proses penelitian yang sangat ketat," katanya.
Integriti
Othman berkata kemungkinan untuk berlakunya salah laku dan rasuah adalah
sukar memandangkan pasukan dan individu berbeza terlibat dalam proses
pemberian sijil halal.
Katanya semua proses permohonan halal termasuk pemeriksaan dan
pemantauan terhadap premis-premis dilaksanakan oleh Jakim sendiri tanpa
penyumberan luar bagi menjaga integriti.
"Kita ada empat tahap iaitu bahagian permohonan yang membuat penelitian
awal, audit oleh auditor, panel penilai dan kemudian pemantauan berkala
yang dibuat oleh pasukan berbeza. Panel penilai tidak terlibat dalam
mana-mana pemeriksaan dan auditor juga tidak boleh berada di dalam
mesyuarat panel... dia (individu terlibat) tidak boleh pengaruhi
keputusan.
"Salah laku agak sukar... kalau orang nak rasuah, mereka nak rasuah di
peringkat mana? Di peringkat proses dan audit? Mereka tidak terlibat
dalam proses membuat keputusan, malah ada auditor yang membuat laporan syor
supaya diluluskan tetapi ditolak oleh panel kerana tidak berpuas hati,"
katanya.
Beliau berkata pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) itu amat
penting dalam menjaga kesaksamaan dan bagi mengelakkan berlakunya
percanggahan
kepentingan.
"Ada cadangan untuk Jakim gunakan penyumberan luar tetapi kita dah ada
pengalaman itu dahulu... timbul isu bila Jakim swastakan pemeriksaan dan sebagainya seperti caj, integriti dan tidak mengikut SOP malah sukar
dikawal... sebab itu Jakim ambil balik dan putuskan untuk buat sendiri,"
katanya.
Sijil halal tidak boleh dibeli
Othman berkata adalah mustahil untuk sijil halal dibeli kerana pemohon
perlu melalui proses yang amat ketat dan mematuhi semua piawaian halal
sebelum sijil diluluskan.
"Jika ada, itu adalah pihak ketiga yang menyamar atau pertubuhan tidak
diiktiraf yang mendakwa kononnya mudah mendapat sijil halal sedangkan
prosesnya memakan masa yang lama dan amat susah," katanya.
Othman berkata memohon logo halal tidak diwajibkan, tetapi tindakan
boleh diambil sekiranya produk tanpa sijil halal diletakkan sebarang
logo halal.
"Kita masih meletakkannya (memohon sijil halal) secara sukarela...
tetapi kalau tulis halal atau apa-apa cara yang mengaitkan dengan halal,
ia salah dan kita boleh ambil tindakan," katanya.
Beliau berkata pengguna boleh memuat turun aplikasi Halal-Square di
telefon bimbit atau alat peranti bagi memeriksa kesahihan sijil halal
yang digunakan di premis-premis perniagaan.
"Kita bekalkan poster kepada setiap outlet makanan seperti restoran dan
hotel yang boleh diimbas menggunakan aplikasi Halal-Square... pengguna
boleh tahu sama ada sijil halal premis itu masih sah, tamat tempoh atau palsu," katanya.
Mampu jejas nama negara
Beliau berkata isu halal yang dibesar-besarkan sebelum mendapat
pengesahan sah mampu menjejaskan nama Malaysia di mata dunia sebagai hab
halal yang menjadi rujukan banyak negara.
Katanya SOP dan standard yang diamalkan Malaysia diiktiraf oleh banyak
negara, malah turut diaplikasikan di negara-negara tersebut dalam
membangunkan sistem halal masing-masing.
"Sekarang ini negara-negara di Timur Tengah sedang merujuk kepada kita
(Malaysia) untuk bimbingan dan bangunkan sistem halal mereka sebab
mereka tidak ada sistem sebegitu selama ini... bagi mereka makanan
mereka semuanya halal sebab mereka Islam.
"Sebagai negara yang menjadi rujukan banyak negara lain takkanlah kita
nak abaikan aspek itu (DNA babi)... kita bimbang kalau isu sebegini
memberi imej yang buruk kepada negara," katanya.
Iktiraf badan halal luar
Beliau berkata JAKIM turut mempunyai skim Pengiktirafan Halal Badan Luar
Negara dan setakat ini 57 badan halal dari 23 negara diiktiraf.
"Ini bagi membantu JAKIM dan industri di sini apabila peniaga mengimport
bahan mentah, ia memerlukan pengesahan halal dari negara pengeluar...
negara pengeluar keluarkan sijil halal dan kita guna pakai.
"Kami tidak mungkin dapat periksa setiap ramuan kerana setiap syarikat
mempunyai beratus produk dan beribu bahan ramuan, jadi kita dapatkan
kerjasama dengan negara lain dengan menggunakan sistem ini," katanya.
JAKIM katanya terlebih dahulu menilai keupayaan badan berkenaan daripada
segi syariah, teknikal dan sistem pensijilan terlebih dahulu, sebelum
mengiktiraf logo halal yang dikeluarkan mereka.
"Kita pantau bagaimana mereka menjalankan audit di kilang-kilang dan selepas berpuas hati barulah Jakim iktiraf mereka.
"Ada juga negara yang sebelum ini JAKIM iktiraf tetapi apabila dibuat
semakan semula, didapati mereka tidak lagi patuh dengan keperluan yang ditetapkan, maka Jakim keluarkan mereka daripada senarai," katanya.
Mengembalikan keyakinan
Mengakui bahawa isu halal coklat Cadbury itu menyebabkan keyakinan orang
ramai terhadap Jakim tercalar, Othman berkata misinya pada masa ini
adalah
mengembalikan kepercayaan masyarakat.
"Kesedaran masyarakat sudah begitu tinggi tentang halal, namun mereka
sebenarnya tidak faham prosedur yang dibuat Jakim itu bagaimana, sebab
itu mereka keliru dan marah pada JAKIM," katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment